KOTA SAMARAHAN: “Saya kumpul sisa-sisa kekuatan untuk teruskan kehidupan demi anak selepas ditinggalkan oleh suami tercinta buat selama-lamanya,” kata Jabah Mingku Voon.

Jabah, 42 merupakan balu kepada perwira negara iaitu DSP Micheal Padel yang gugur dalam serangan hendap pengganas di Kampung Simunul, Semporna di Sabah pada 2 Mac 2013.

Mengakui mengalami kemurungan kerana perubahan drastik dalam hidupnya selepas tragedi itu, Jabah mengingatkan generasi muda supaya menghargai kebebasan yang dikecapi hari ini hasil daripada pejuang terdahulu.

“Kebebasan yang kita kecapi hari ini ialah hasil pengorbanan darah dan air mata pemimpin Sarawak terdahulu. “Justeru, Hari Sarawak yang diraikan pada 22 Julai setiap tahun ialah hari untuk memperingati dan menghargai mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak di kediamannya di sini.

Menurut Jabah, kata-kata terakhir Michael sentiasa menjadi pendorongnya untuk menjaga dan mendidik anak mereka sebaik mungkin dalam persekolahan.

“Mendiang berpesan kepada saya supaya menjaga dan mendidik anak tunggal kami menjadi manusia berguna 30 minit sebelum beliau gugur dalam kejadian itu.

“Jiwa saya kosong apabila ditinggalkan kerana dahulu saya ialah isteri yang kurang berdikari dan kini segala tanggungjawab dalam membesarkan anak terletak di bahu saya,” tegasnya.

Pada saat itu, terdapat manik jernih yang gugur dari kelopak mata Jabah sambil ditenangkan anak lelakinya, Macluie Micheal, 18. Mengimbas kembali pertemuannya dengan Micheal sehingg menyuburkan bibit-bibit percintaan mereka ke jinjang pelamin, Jabah berkata, ia berlaku pada 1998.

“Mendiang ketika itu bekerja sebagai guru sandaran dan saya pula bekerja di sebuah kedai di Serian. “Selesai mengajar, beliau selalu singgah di kedai makan tempat saya bekerja dan bertukar nombor telefon,” tambahnya  sambil tersenyum mengingatkan kembali detik berkenaan.

Kata Jabah yang berasal dari Simunjan, mendiang kemudiannya mendapat tawaran latihan inspektor kesihatan di Kuching. Bagaimanapun, katanya, selepas tiga bulan menjalani latihan berkenaan, mendiang suaminya mendapat tawaran sebagai pegawai polis dan ia menjadi kerjayanya sehingga ke nafas terakhir.

Menyifatkan suaminya sebagai seorang romantik, Jabah dan Michael menuju ke alam perkahwinan pada 2001 dan dikurniakan seorang cahaya mata. “Malah, tiga bulan sebelum kejadian di Lahad Datu, saya dan mendiang memperbaharui perjanjian perkahwinan kami pada ulang tahun perkahwinan ke-12.

“Oleh kerana ulang tahun kelahiran saya dan anak jatuh pada tarikh yang sama, mendiang tidak pernah lupa untuk membuat kejutan, kini tiada lagi,” jelas Jabah dengan sayu.

Beliau yang kini menjalankan perniagaan pekasam ikan jelawat atau ikan sultan memberitahu ia makanan kegemaran mendiang suaminya selain meminati lagu.

“Bunga” daripada Thomas Arya. “Sebelum kejadian berdarah itu, memang mendiang menunjukkan tanda-tanda pelik tetapi hati kecil saya enggan mempercayainya.

Foto ALIEP NONI

“Beliau suka tidur dengan anak kami dengan memberitahu tiada lagi selepas ini, suka makan sayur pahit sehinggakan saya meminta ibu saya di kampung mengirimnya ke Sabah dan membaiki peralatan yang rosak sedangkan sebelumnya beliau sering memanggil mekanik,” ujarnya.

Macluie juga memberitahu yang ayahnya membawanya ke mesin ATM dan mendedahkan nombor pin untuk dirujuknya.

“Namun, saya amat bangga dengan ayah yang menjadi perwira negara dan berusaha untuk menjaga nama baiknya. “Saya juga amat bersyukur kerana ibu sentiasa menjadi tulang belakang saya,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Unimas pada Ogos depan.

Jabah mengakhiri temu bual dengan perumpamaan lagu Iban “mulut ketawa ati merinsa” (mulut ketawa hati merana) yang menyifatkan ada masyarakat menyokongnya dan segelintirnya pula memandang serong terhadapnya sebagai seorang balu.

Namun, beliau pekakkan telinga dan mengutip kekuatan untuk meneruskan kehidupan kerana yang mengalaminya adalah dirinya bukan orang lain dengan prinsip berada di landasan betul. Deputi Superintendan Polis (DSP) Michael dilahirkan pada 7 Februari 1977 di Serian.

Beliau mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Oktober 2000 sebagai Inspektor dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sejurus menjalani latihan, beliau ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sabah.

Pada 2 Mac 2013, Michael yang ketika itu berpangkat ASP menyertai satu operasi khas bagi mengesan dan menangkap penceroboh daripada Tentera Diraja Kesultanan Sulu atau lebih dikenali sebagai Royal Sulu Force (RSF) di Kampung Simunul, Semporna, Sabah.

Ketika beliau melakukan risikan di kawasan tersebut, Michael diserang hendap oleh penceroboh yang bersenjatakan senapang dan parang barong. Ia mencetuskan kejadian berbalas-balas tembakan antara pihak polis dengan RSF. Malangnya, Michael terkorban akibat terkena tembakan oleh pihak musuh bersama-sama lima lagi anggota polis iaitu Supt Ibrahim Lebar, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Abdul Aziz Sarikon, Koperal Salam Togiran dan Lans Korporal Mohd Azrul Tukiran.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan Michael kepada negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XIV Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan mengurniai anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada mendiang pada 2 Disember 2014.

Michael turut dinaikkan pangkat secara medan daripada ASP kepada DSP pada Sambutan Hari Polis ke-206. Malah, mendiang mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Sarawak untuk disemadikan secara pengebumian perwira di Makam Pahlawan, Kuching. Michael satu-satunya pegawai polis yang disemadikan di Makam Pahlawan bersama-sama dengan mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau