KUCHING: Sarawak merekodkan empat kes baharu positif Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 632.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), daripada jumlah itu, tiga daripadanya membabitkan pengesanan kontak kluster yang masih aktif di Daerah Kuching.

“Kes pertama merupakan wanita warga tempatan yang berniaga sayur di Pasar Stutong, diikuti kes kedua yang melibatkan pesakit di pusat kesihatan yang berkaitan dengan kluster Sentosa.

“Manakala kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki yang merupakan kontak rapat kes indeks kluster syarikat kejuruteraan.

“Bagi kes keempat, ia melibatkan seorang wanita tempatan yang menjalani saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan pada 21 Julai, disahkan positif tanpa menunjukkan sebarang gejala,” ujar kenyataan itu.

Menurutnya, berdasarkan penambahan kes terbaharu, lapan kluster masih aktif yang melibatkan penambahan satu kes bagi kluster Stutong setakat petang semalam.

KKM turut mengisytiharkan kluster PUI Melbourne membabitkan seorang pelajar tempatan yang dikesan positif di pusat kuarantin hotel pada 17 Julai lalu.

“Kes pulang dari Melbourne, Australia pada 15 Julai dengan menaiki pesawat dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudian ke Kuching.

“Aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan bagi kes tersebut, sekali gus pelaksanaan siasatan bagi kes baharu melibatkan saringan kendiri pada 21 Julai lalu,” ujar kenyataan itu lagi.

Justeru, tiada kes baharu yang sembuh dan didiscaj yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sembuh kekal 556 orang atau 89.97 peratus.
Manakala, sebanyak 18 individu di bawah siasatan (PUI) dilaporkan dan tiga kes masih menunggu keputusan makmal.

Orang ramai dinasihati tidak leka dan terus waspada pada tempoh ini, dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini.