SARIKEI: Kerajaan Sarawak memberi tumpuan membangunkan Pakan bagi memastikan kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) itu termasuk kerja penyambungan Fasa Ketiga Jalan Pakan dan penyusunan semula pekan Pakan.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat tetapi berupaya melonjakkan potensi Pakan sebagai pengeluar hasil pertanian.

“Hari ini penduduk Pakan sudah menikmati jaringan jalan raya moden apabila Jalan Ulu Kota-Pakan (Fasa Kedua) siap sepenuhnya.

Ini membuktikan kerajaan tidak bercakap kosong.

“Justeru, kita bersetuju untuk menyambung jalan ini ke fasa seterusnya yang menghubungkan Pakan dengan Bukit Sadok dan Betong,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Pakan Ulu Kota Fasa 2 di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui RMK12, pekan Pakan akan disusun semula sekali gus menjadikannya sebagai salah satu lagi bandar baharu di bahagian Sarikei.

Usaha itu katanya, meliputi perluasan pekan Pakan di samping membangunkan kawasan perumahan, kedai dan pusat riadah.

“Saya sudah minta Jabatan Tanah dan Survei melalui Unit Perancangannya membuat pelan induk dan melalui RMK-12 kita akan bangunkannya,” katanya. Projek Jalan Pakan – Ulu Kota,

Pakan terbahagi kepada dua fasa. Pertama, melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 13.3 kilo-meter dengan kos sebanyak RM63.7 juta.

Pembinaan jalan itu dilaksanakan dalam tempoh 29 bulan bermula 8 Januari 2009 dan siap pada 15 Jun 2011 kerana disemak semula tempoh pembinaannya (sepatutnya siap 7 Januari 2011, tempoh pembinaan 24 bulan).

Selain pembinaan jalan utama, projek turut merangkumi pembinaan 0.37 kilometer cabang jalan, 38 pembentung dan jambatan menyeberangi Sungai Ulu Julau terus menuju ke Pakan Wuak.

Bagi projek pembinaan Jalan Pakan/Ulu Kota, Pakan (Fasa Kedua) ia pula melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 15.4 kilometer melibatkan kos sebanyak RM122.5 juta.

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata, kewujudan jalan itu membuka lebih banyak potensi Pakan sebagai pengeluar hasil pertanian dan pelancongan.

“Kerajaan komited melaksanakan pembangunan dalam usaha membela nasib penduduk pedalaman dan luar bandar termasuk Pakan.

Usaha bersepadu ini dapat memastikan sektor berkaitan juga dapat dibangunkan sekali gus menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat

“Apa yang penting ialah semua pihak perlu memberikan kerjasama dan sokongan supaya perancangan kita dapat direalisasikan,” katanya.

Menyentuh mengenai capaian Internet yang agak lemah di Pakan, Abang Johari menjelaskan, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan secara proaktif mengatasi masalah itu bagi memastikan rakyat Sarawak tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital.

“Setakat ini, kita telah membangunkan sebanyak 170 menara komunikasi di seluruh Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“SMA dijangka menyediakan perkhidmatan Internet di luar bandar sebaik sahaja mendapat lesen penyedia perkhidmatan Internet (ISP),” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, beliau sudah berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan memohon untuk mendapatkan lesen ISP bagi SMA sama seperti lesen penyedia telekomunikasi lain.

“Menerusi SMA kadar bayaran internet yang dikenakan lebih murah kerana disubsidi kerajaan di samping dapat beroperasi di kawasan luar bandar,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Adun Pakan, Tan Sri William Mawan, Adun Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii dan Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.