KUCHING: Tindakan dua lelaki menjual barang curi berupa sinki dan mangkuk tandas di laman Facebook membawa padah setelah perbuatan mereka diketahui pihak polis, semalam.

Terdahulu, satu kes pecah rumah melibatkan kehilangan barangan kes dilaporkan berlaku di sebuah kediaman berhampiran Jalan Samariang pada Rabu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan kedua-dua suspek terlibat dalam kecurian itu bagaimanapun berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam selepas pihaknya menerima laporan kejadian.

Menurutnya, suspek masing-masing berusia 26 dan 29 tahun itu pada awalnya bertindak mempromosikan hasil barangan curi di laman Facebook sebelum lokasi mereka diserbu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching.

“Hasil soal siasat mendapati suspek telah mengaku memecah masuk rumah di Jalan Samariang tersebut.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, semakan rekod jenayah juga mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan harta benda.

Sehubungan itu, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Tambah beliau, kedua-duanya akan direman di Mahkamah Kuching serta merta pada 24 Julai 2020.

Dalam pada itu, Awang Din turut menegaskan kepada masyarakat awam untuk sentiasa membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras perbuatan jenayah.

Beliau selain itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa patuh kepada undang-undang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) bagi mengurangkan risiko penularan Covud-19.