LIMBANG: Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) berjalan lancar dan berpotensi untuk meningkatkan hasil pertanian untuk dieksport.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, beliau melihat TPKM berkembang baik dan mengikut jadual dengan setiap peserta sudah mula menanam tanaman yang dikenal pasti di Stesen Pertanian Kubong.

Menurutnya, program itu merupakan usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melibatkan tanah seluas 25 hektar yang disewakan kepada peserta dengan kadar sewa yang berpatutan.

“Sesiapa yang ikut serta dalam TKPM ini beruntung sebab kita menyediakan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan bekalan elektrik turut disediakan oleh Jabatan Pertanian.

“Kita juga menyediakan bangunan tempat pengumpulan hasil pertanian untuk dipasarkan,” katanya selepas melawat Taman  Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong di Stesen Pertanian, Kubong Limbang baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota berkata, program TPKM melibatkan tanaman nangka madu dan pisang, serta sistem fertigasi yang menggunakan platform digital.

Menurutnya, ada dua komponen TKPM di Limbang iaitu untuk tanaman tumpuan iaitu nangka madu dan pisang. “Ketika ini ada enam peserta. Lima orang untuk nangka madu dan seorang untuk pisang. “Satu lagi komponen ialah fertigasi yang melibatkan lapan peserta.

Kita akan menyediakan dua rumah fertigasi untuk setiap seorang peserta dan ini sedang dalam pembinaan,” tambahnya.

Setiap peserta tanaman nangka madu di TKPM Kubong akan menerima bantuan benih nangka madu, baja dan peralatan seperti mesin rumput, tangki penyembur dan lain-lain dari Jabatan Pertanian Sarawak.

Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit dan wakil Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli turut hadir.