KUCHING: Umat Islam di Sarawak masih dibenarkan untuk menjalankan ibadah korban walaupun terdapat peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bagaimanapun berkata, pelaksanaannya perlu mematuhi SOP yang diputuskan sekretariat Majlis Islam Sarawak (MIS).

Menurutnya, ia termasuk pendaftaran jawatankuasa pengelola ibadah korban, mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setakat ini, belum ada perubahan mengenai SOP ibadah korban dan kita belum menerima apa-apa arahan pembatalan.

“Ini bermakna masyarakat Islam masih boleh melaksanakan ibadah korban, namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Khidmat Islam Sarawak (Kiswa) 2020 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, penganjur program ibadah korban perlu mematuhi setiap arahan yang ditetapkan.

“Memang ibadah korban kali ini ada perbezaan terutama melibatkan bilangan peserta, namun ia merupakan SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) masih mengekalkan keputusan mengenai ibadah korban.