LONG TUJANG: Komuniti Penan dari Long Tujang dan Long Buang berjaya mengumpul dana berjumlah RM293.60 untuk Tabung Covid-19.

Rumah panjang dua komuniti Penan ini hanya dapat diakses dengan empat jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari bandar raya Miri.

Menyahut seruan kerajaan untuk sumbangan Tabung Covid-19, komuniti itu berbuat demikian pada satu acara di Rumah Panjang Long Tujang yang dihadiri Adun Telang Usan Dennis Ngau, semalam.

Dennis yang menerima sumbangan itu mewakili Kerajaan Sarawak amat tersentuh dengan tindakan pantas penduduk kampung yang turut serta memerangi pandemik Covid-19.

“Sumbangan ini akan dimasukkan ke akaun Tabung Covid-19 di bawah Bank Muamalat.

“Ia merupakan sumbangan ikhlas membantu pihak Kerajaan Sarawak membendung pandemik ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sumbangan itu amat bermakna bagi petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa sepanjang memerangi wabak berkenaan.

“Kemunculan wabak Covid-19 tidak hanya mempengaruhi kawasan bandar tetapi menimbulkan ketakutan penduduk di pedalaman seperti di Ulu Baram.

“Dengan adanya penyambungan rangkaian televisyen, radio dan telekomunikasi, penduduk di Ulu Baram boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk kampung mematuhi segala arahan dan SOP yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Pemukiman Long Tujang TK Alung Jok berkata, komunitinya tidak mahu melepaskan peluang memainkan peranan membantu kerajaan kerana menyedari isu itu berupaya menjejaskan ekonomi negara.

“Harapan kita supaya virus maut itu dapat dihapuskan dan kehidupan kembali seperti sediakala,” ujarnya lagi.

Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu.

Ia merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat yang tidak bekerja dan terjejas berikutan pelaksanaan PKP.

Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 16010001138714 (Bank Muamalat – Tabung Bantuan Bencana Negara).