KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) meminta Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak memandang ringan berhubung undang-undang dan sejarah kemerdekaan Sarawak, tegas Rita Sarimah Patrick Insol.

Timbalan Setiausaha Agung PRS itu berkata, mereka terkejut dengan tindakan PSB yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tun Tuanku Jaafar berhubung isu 22 Julai sebagai tarikh Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri dan bukan kemerdekaan.

“Undang-undang dan sejarah menunjukkan bahawa Sarawak diberi kuasa untuk memerintah sendiri dan menjangka bergabung dengan Malaysia pada 16 September 1963.

Kabinet Sarawak dibentuk dan Datuk Stephen Kalong Ningkan yang dilantik sebagai Ketua Menteri pertama pada 22 Julai 1963.

“Mengikut Akta Malaysia 1963 yang diluluskan oleh Parlimen Britain, mereka hanya melepaskan kedaulatan dan bidang kuasa ke atas Sarawak pada 16 September 1963, hari ketika Sarawak, Sabah dan Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

PSB dalam kenyataannya pada Khamis mendakwa, parti itu tetap berpegang teguh dengan pendapat bahawa Sarawak merdeka ketika melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan negeri itu adalah rakan setara di negara ini.

Namun bidas Rita, sejarah membuktikan bahawa penjajahan Sarawak oleh Great Britain hanya berakhir pada 16 September 1963 ketika Sarawak bersama-sama membentuk Malaysia.

“Walaupun 22 Julai diwartakan sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak, rakyat harus memahami bahawa ia diistilahkan sedemikian dalam konteks pemerintahan sendiri, bukannya kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris.

“Sejarah tidak pernah berbohong dan umum mengetahui mengenainya.

Lagipun, GPS tidak pernah berputus asa untuk mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63.

“Banyak kemajuan dicapai dalam perbincangan, bukan sahaja antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak tetapi juga dengan Petronas sejak Perikatan Nasional mengambil alih Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Untuk rekod, Hari Sarawak diumumkan sebagai cuti umum pada 2016 oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bagi mengenang jasa pemimpin lama yang berjuang untuk Sarawak.