MIRI: Sebanyak 51 kilogram pukat hantu berjaya dibersihkan dari kawasan terumbu karang Sunday Reef dan Nemo City di Taman Negara Marin Miri-Sibuti di sini, baru-baru ini.

Program pembersihan terumbu karang ops pukat jaring hantu itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Co.Co Dive Miri, Borneo Ghost Nets Hunter, Future Ocean Borneo dan Jabatan Perhutanan Sarawak serta polis marin.

Presiden NSJA Andy Jong berkata, persatuannya telah menganjurkan aktiviti sosial itu sejak tahun lepas dengan sebanyak 381 kilogram pukat hantu berjaya dibersihkan setakat ini.

BERJAYA… Persatuan Wartawan Sarawak Utara menganjurkan operasi pembersihan terumbu karang dalam Ops Pukat Hantu sempena Hari Sarawak 2020.

“Ini kali ketiga kita mengadakan aktiviti ini dan pertama kalinya dianjurkan sempena sambutan Hari Sarawak. “Jarak tempat pembersihan terumbu karang dari Jeti Marina kali ini adalah 19.67 kilometer atau 10.62 batu nautika yang memerlukan 45 minit untuk perjalanan bot,” katanya pada majlis perasmian program itu pada Rabu lalu.

Jelas beliau, aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar, khususnya membersihkan pukat hantu dan sisa-sisa sampah di kawasan terumbu karang Taman Negara Marin Miri-Sibuti.

“Operasi kali ini amat bermakna kepada kita kerana dalam meraikan Hari Sarawak, kita juga melakukan kerja amal dengan membersihkan persekitaran alam marin.

“Kita tidak boleh membiarkan ancaman seperti pukat hantu merosakkan alam sekitar dan keindahan di dasar laut, bukan sahaja untuk kelangsungan taman laut kita tetapi juga untuk industri pelancongan kita,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin semasa merasmikan operasi tersebut memuji usaha NSJA dalam memastikan aktiviti seumpama berterusan dilakukan demi memulihara alam sekitar.

“Ini satu usaha yang harus kita puji kerana mereka telah berusaha untuk memastikan alam sekitar kita terutamanya hidupan marin dapat dipulihara semula,” kata beliau.