KUCHING: PDRM tidak lagi berkompromi dengan pemilik premis dan pelanggan yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini.

Sehubungan itu sehingga 22 Julai lalu, sebanyak 23 individu telah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP itu. Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, pemeriksaan diketuai ASP Ahmad Abang bersamasama Pasukan Pemantauan SOP PKPP sekitar jam 9.30 malam telah diadakan di sebuah kedai makan di Jalan Green Hill.

“Semasa pemeriksaan di premis tersebut, pelanggan yang hadir didapati duduk terlalu rapat,. Hasil pemeriksaan, 22 pelanggan warga tempatan yang terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Jelasnya lagi, seorang lelaki warga Sri Lanka yang merupakan pengusaha premis terebut ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Peraturan 3 PPPPB (No.7) 2020 kerana didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pemilik premis didapati cuai yang mungkin menyebabkan merebaknya jangkitan Covid-19 kepada orang ramai. “Kesemua pelanggan dan pengusaha premis telah diarahkan pergi ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

ACP Awang Din sekali lagi menegaskan, polis tidak lagi akan mengambil pendekatan memberi amaran kepada pelanggan dan pengusaha premis, sebaliknya tindakan segera iaitu mengeluarkan kompaun.

“Ini kerana orang awam semakin leka dan semakin ramai yang tidak mengikuti SOP seperti yang telah ditetapkan. “Tindakan tegas iaitu mengenakan kompaun akan dilakukan tanpa prejudis,” tegasnya.

Tambahnya, kesemua 22 pelanggan dikompaun atas kesalahan di bawah Peraturan 3, PPPPB (No. 7) 2020. Katanya, pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis dilaksana secara berterusan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kompaun yang dikeluarkan ini perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

“Manakala pemilik premis yang juga warga Sri Lanka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Saya berharap orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan sentiasa mengikuti saranan Kerajaan dalam tempoh PKP supaya mematuhi SOP penjarakan sosial bagi membendung penularan Covid-19.

“Tindakan kompaun berterusan ini perlu bagi memastikan masyarakat sedar akan norma baharu dan betapa pentingnya semua pihak memainkan peranan dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit Covid-19,” jelasnya lagi.