KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan Wong King Wei mengumumkan keluar daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini.

Dengan keputusan itu, beliau berkata tidak akan mempertahankan kerusi Dun Padungan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kelak.

Menurut Wong, tindakannya itu dibuat kerana sudah hilang keyakinan malah kecewa dengan tindakan khasnya DAP Sarawak dalam menunaikan janji kepada rakyat.

“Saya berasa perit apabila mengingatkan DAP…Dalam tempoh 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, apa yang kami katakan dan janjikan di hadapan rakyat tidak ditunaikan.

“Sekiranya kami ingin membawa semula idea dan impian bahkan janji, kredibiliti DAP akan dipersoalkan.

“Sekiranya kami kembali kepada apa yang kami mulakan dengan integriti dan keikhlasan, nampaknya banyak yang DAP perlu jelaskan kepada pengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga tidak gembira dengan mainan politik DAP yang hanya melancarkan serangan kepada lawan.

“Ketika DAP menjadi pembangkang, kami buat banyak serangan..apabila menjadi gabungan pemerintah, kami masih melakukannya.

“Politik Sarawak adalah memerlukan positiviti sekiranya kita ingin melihat negeri maju ke depan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap tindakan kepimpinan DAP untuk bertanding di Dun Batu Lintang pada PRN-12 nanti, yang sepatutnya ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mengapa melakukan begini dengan sekutu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Wong juga malu dengan tindakan pembantu khas Chong Chieng Jen, Michael Kong yang telah menyerang Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Richard Wee menerusi media sosial.