KUCHING: Aktiviti sektor pelancongan akan dibekukan semula seperti tempoh PKP lalu jika wabak penularan Covid-19 masih meningkat di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beberapa perkara berkaitan pelancongan dipertimbangkan untuk dibekukan sesuai perkembanga semasa virus tersebut yang dilihat semakin membimbangkan.

“Sekiranya semakin meningkat, kita tidak ada pilihan lain, selain memutuskan rantaian Covid-19 kecuali meletakkan sekatan seperti PKP.

“Saya harap kita tidak perlu sampai ke situ dan jika boleh orang ramai harus mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memutuskan rantaian wabak ini,” jelasnya menerusi kenyataan media, semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, aktiviti pelancongan terutamanya sektor pelancongan domestik meningkat berbanding ketika pelaksanaan PKP.

Tegasnya, kementeriannya turut menjalankan pemantauan terutamanya penyediaan data terhadap mana-mana pengunjung di hotel pada setiap bulan.

Dedahnya, kehadiran pengunjung pada Mei dan Jun tahun ini menunjukkan penurunan lebih 50 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

“Ramai yang datang dari luar negara seperti pekerja swasta dan kumpulan diplomatik ditempatkan di Kuala Lumpur.

“Golongan ini tidak dibenarkan keluar ke tempat lain,” jelasnya lanjut.

Ujarnya, aktiviti pelancongan dilihat meningkat semula seperti biasa pada September sekiranya tiada perubahan berlaku dengan wabak Covid-19.