KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dijangka akan melaksanakan kawalan pergerakan antara daerah sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

JPBN berkata, itu antara strategi yang sedang diperincikan sebagai tindakan memutuskan rantaian wabak, termasuk pengurangan jumlah penerbangan dan mengurangkan tempoh masa operasi perniagaan.

“JPBN akan mengumumkan strategi-strategi ini dalam masa terdekat dengan lebih terperinci setelah ia diperhalusi,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat JPBN yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Dalam hal berkaitan, JPBN turut menjelaskan bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan pelaksanaan operasi pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan Kota Sentosa.

Ia ekoran kes positif semakin bertambah melalui Kluster Sentosa sehingga menjadikan jumlah di dalam kluster ini adalah seramai 21 orang setakat hari inj.

Selain itu, berkuatkuasa pada 1 sehingga 14 Ogos ini, semua warganegara Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.

JPBN memberitahu, sampel akan diambil pada hari
kedua dan akan dibenarkan balik sekiranya keputusan ujian PCR Covid-19 negatif.

Bagi kemasukan rakyat Sarawak dari luar negara pula, keputusan kekal seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Sebelum ini, JPBN menjelaskan semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang telah ditetapkan.

Saringan pemeriksaan Covid-19 akan diambil pada hari kedua dan ke-10.