SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee puas hati terhadap pematuhan SOP di sekolah-sekolah rendah di sini.

Beliau berpendapat, pemakaian pelitup muka dalam kalangan murid menunjukkan ibu bapa prihatin untuk melindungi anak-anak mereka daripada wabak Covid19.

“Begitu juga guru yang menyediakan cecair pensanitasi tangan di sekolah.

“Suhu badan murid turut diperiksa di depan pagar sekolah sebelum masuk ke dalam kelas.

“Secara keseluruhannya, SOP daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dipatuhi oleh semua sekolah-sekolah rendah amnya di Sibu.

“Syabas kepada ibu bapa, guru dan murid-murid kerana tahap kesedaran anda sangat tinggi dalam usaha kita memerangi wabak maut ini,” katanya ketika mengadakan tinjauan ke SK Abang Ali di sini, kelmarin.

Tinjauan mengejutnya untuk memantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk sekolah rendah yang mula dibuka sepenuhnya mulai Khamis.

Sementara itu, Dr Anuuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyarankan agar penggunaan pelitup muka khususnya di tempat awam.

Menurutnya, beliau sebelum ini pernah mencadangkan agar sesiapa yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam didenda.

“Akhirnya pada 1 Ogos ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang didapati tidak memakai pelitup muka di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, pasar dan sebagainya.

“Saya sangat bersetuju dengan tindakan sedemikian dalam usaha kita memutuskan rantaian serta penularan wabak Covid-19 ini,” tegas Adun Nangka itu.

Beliau memberitahu, virus tersebut boleh kekal berada di udara hingga lapan jam yang bermaksud penggunaan pelitup muka harus diwajibkan di mana-mana tempat awam.

“Rentetan itu, semua gerai sama ada restoran, kedai kopi atau pusat membeli-belah tidak boleh membiarkan sesiapa sahaja tanpa penutup hidung dan mulut memasuki premis mereka,” tegasnya lagi.