KUCHING: Seorang wanita warga emas menjadi korban Covid-19 di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kes kematian di negeri ini sebanyak 19 kes.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), mangsa berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching.

“Kes kematian yang ke-19 melibatkan kes ke-589 dilaporkan di Sarawak dan kes kematian ke-124 di Malaysia.

“JPBN mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala satu kes positif turut dilaporkan di daerah Kuching hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak sebanyak 650 kes.

JPBNS melaporkan kes positif baru yang dilaporkan tersebut melibatkan pengesanan kontak dari kluster Sentosa yang masih aktif.

“Mangsa merupakan lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai petugas kesihatan di fasiliti tersebut dan merupakan kes Ke-21 melibatkan kluster ini.

“Mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan telah diambil swab Combined Nasopharyngeal dan Oropharyngeal pada 24 Julai di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kuching,” katanya.

Tambahnya, keputusan ujian rT-PCR kes adalah positif untuk Covid-19 pada 25 Julai dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

JPBN turut menjelaskan tiada penambahan kes dikesan atau dilaporkan untuk kluster-kluster lain yang masih aktif.

Setakat hari ini, terdapat sembilan kluster yang masih aktif termasuk Kluster Syarikat Kejuruteraaan yang kekal empat kes, Kluster Mambong (5), Kluster Pusat Perubatan (3), Kluster Jupiter (3), Kluster Pasar Stutong (7), Kluster Jeti Kuching (2), Kluster PUI Melburne (2) dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching kekal dua kes.

Dalam hal berkaitan, JPBNS berkata dua kes baru telah sembuh dan discaj dari HUS hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 563 orang atau 86.62 peratus.

“Seramai 68 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian 19 orang atau 2.93 peratus.

“Hari ini sebanyak enam PUI baru dilaporkan dan lima kes masih menunggu ujian makmal,” ujarnya.