TATAU: Pelbagai projek pembangunan telah, sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Dun Kakus.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, kawasan Ulu Kakus kini juga telah menikmati kemudahan elektrik solar.

Menurutnya, bekalan elektrik secara grid pula akan dilaksanakan dari Jambatan Kelebu ke Rumah Ado di Kakus. “Penduduk di kawasan Sangan dan Muput juga akan menikmati bekalan elektrik secara grid dalam masa terdekat.

“Begitu juga dengan penduduk di kawasan Ulu Anap, yang akan menikmati bekalan elektrik menggunakan solar,” katanya. Beliau berkata demikian berucap merasmikan jalan simen dan rumah Biro Wanita JKKK Rumah Serai, Sungai Sepulau, Muput Kanan, dekat Tatau, kelmarin.

Adun Kakus itu berkata, beliau bersama-sama Adun Pelagus Wilson Nyabung Ijang telah berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing mengenai permohonan pembinaan jalan raya menghubungkan Rumah Bilis, Ulu Anap ke Nanga Merit, Kapit.

Beliau dalam pada itu memberitahu, pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk tahun ini tergendala berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun jelasnya lagi, semua projek akan diteruskan sehingga siap sepenuhnya meskipun mengalami kelewatan. Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM36,000 kepada JKKK Rumah Serai, manakala RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut.

Turut disampaikan cek MRP kepada JKKK Rumah Samun anak Anyut dan JKKK Rumah Sekaya Tulong, Penyarai.