SARIKEI: Keprihatinan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh terserlah melalui pelbagai sumbangan untuk rakyat di kawasannya yang memerlukan.

Ia merupakan sebahagian tradisi Len Talif sejak menjadi wakil rakyat di kawasan DUN N.41 Kuala Rajang.

Sebagai pemimpin yang peka dengan keperluan rakyatnya, beliau juga kerap turun padang meninjau sendiri permasalahan warga setempat.

Malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mei lalu, beliau kerap berada di kawasan untuk meninjau masalah dan keperluan rakyat.

“Turun padang dan melawat kawasan sudah menjadi kebiasaan saya apatah lagi ketika rakyat ditimpa musibah.

“Apa yang lebih menggembirakan proses penghantaran bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika tempoh itu berjalan lancar.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen pasukan petugas sukarelawan yang menyempurnakan tanggungjawab itu,” katanya.

Terkini beliau menghulurkan sumbangan khairat kematian untuk keluarga Allahyarham Awang Razak dan Bolhi Juh, di Jalan Tangki Air dan Jalan Alamanda di sini.

Sumbangan diserahkan melalui Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.41 Kuala Rajang, Kaunselor Misiah Abu Seman semalam.

Pada masa yang sama beliau turut menyerahkan kerusi roda kepada mantan Ketua Ranting PBB Sarikei II, Salim Dahlan dan Seman Mong yang menghidap sakit buah pinggang dan kencing manis.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan GPS memperuntukkan kira-kira  RM1.7 juta bagi melaksanakan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang sejak tahun lalu.

Menurut Len Talif,   projek yang melalui tiga fasa itu melibatkan sebanyak 176 buah rumah.

Sebelum ini katanya,  sebanyak 91  buah rumah sudah dibaikpulih dalam fasa pertama dan kedua dengan kos berjumlah kira-kira RM832,000.

“Program ini sudah memasuki fasa ketiga yang bermula sejak minggu lepas.   Sehubungan itu, sebanyak 85 unit rumah dikenalpasti untuk dibaikpulih dengan kos sebanyak RM869,000.

“Sebahagian besar komponen yang dibaikpulih ialah bahagian bumbung terutama di kawasan berhampiran sungai dan laut. Ini mungkin berpunca daripada air masin. Tidak hairanlah jika banyak bumbung yang sudah bertegar (berkarat).

“ Begitu juga dengan bahagian lantai dan dinding,” jelasnya.