KETEGANGAN dan masalah hubungan Washington-Beijing mengheret penglibatan negara lain ke kancah sengketa dalam bentuk blok. Lanjutan daripada perang dagang, muncul isu lain berkaitan demokrasi Hong Kong, Taiwan dan sebagainya sehingga menjangkau pandemik Covid-19.

Rantaian isu dan tindakan AS ke atas kepentingan China mengungkit isu harta intelek. Misalnya dengan mudah Jabatan Kehakiman AS menuduh Beijing menaja peretas menobros makmal pengembangan vaksin Covid-19.

Malah, perisikan dilakukan sejak 2009 didakwa mencuri rahsia dagang, harta intelek dan maklumat niaga lainnya dalam nilai yang besar meliputi Australia, Belgium, Jerman, Jepun, Lithuania, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Britain.

Bahkan, Barat turut menuduh sekutu China iaitu Rusia dikatakan berusaha mencuri kajian berkaitan Covid-19. Barat secara terang meletakkan Rusia, Iran, Korea Utara dalam blok dan sekutu China.

Berkaitan isu diskriminasi terhadap 11 juta etnik Uyghur, Britain menuding jarinya bahawa Beijing melanggar hak asasi di kem konsentrasi di Xinjiang. Ini turut dijadikan alasan Presiden AS Donald Trump menghukum Presiden China Xi Jinping, sehingga konsulat China di Houston ditutup.

Kata Menteri Luar AS Mike Pompeo, Parti Komunis China mencuri “bukan hanya kekayaan intelektual AS… tapi juga kekayaan intelektual Eropah yang menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan”.

Bagi Pompeo, penting AS mengambil tindakan melindungi rakyat AS, melindungi keamanan dan ekonomi serta pekerjaannya.

Menteri Luar AS Mike Pompeo. Foto AFP

Atasi ancaman

Pompeo, menyeru ‘negara bebas’ supaya mengatasi ancaman yang disifatkan beliau sebagai ‘kezaliman baharu’ China. “Jika dunia bebas tidak mengubah China Komunis, China Komunis akan mengubah kita,” kata Pompeo.

Tentulah seperti biasa, China bertindak balas mengatakan alasan disampaikan AS berkaitan penutupan konsulat di Houston sebagai “luar biasa mengada-ada”.

Memasuki fasa seterusnya, AS semakin agresif mengambil tempat di Laut China Selatan ketika China percaya sebahagian laut tersebut berada dalam wilayahnya.

Dan ketika hubungan ChinaIndia mengeruh, AS secara agresif mengambil kesempatan menjadi batu api.

India berkonfrontasi dengan China berkaitan isu sempadan kedua-dua negara di perbatasan Himalaya. Pada pertengahan Jun lepas, tentera China dan India bersengketa di lembah Galwan di Ladakh sehingga 20 tentera India terkorban, dengan jumlah kematian tentera China tidak dicatatkan.

India dan China dikatakan masing-masing mengerahkan penerbangan dron pengintip di sempadan. Pompeo menangguk di air keruh lantaran meminta India mengurangi ketergantungan terhadap produk China.

Di Laut China Selatan, AS memanjangkan sengketa ke perairan penuh perbalahan di situ.

Latihan tentera di Andaman

Foto AFP

Menurut Hindustan Times, kapal perang terbesar AS, USS Nimitz berlayar menuju Lautan Hindi ketika Armada Timur Angkatan Laut India melakukan latihan tentera dekat Kepulauan Andaman dan Nicobar.

Sebelum itu, dua kapal induk USS Nimitz dan USS Ronald Reagan melakukan latihan tempur di Laut China Selatan. Angkatan Laut India juga dikatakan sebelum ini melakukan latihan bersama-sama Angkatan Laut Jepun dan Perancis.

Australia yang taat kepada AS, turut mengerah lima kapal perang untuk latihan bersama armada Angkatan Laut AS dan Jepun di perairan Filipina di Laut China Selatan.

Latihan gabungan ini sebagai tindak balas ketika China melancarkan serangkaian manuver provokatif di laut sengketa itu atas alasan menjaga IndoPasifik yang bebas dan terbuka.

Pompeo ketika menyuntik “jarum halus”nya menyebut, India mitra AS yang memiliki pandangan yang sama. India menurutnya memiliki peluang untuk menarik rantai stok global dari China dan mengurangkan kebergantungannya dengan syarikat Cina di bidang telekomunikasi, perubatan dan sebagainya.

Pompeo memuji India yang menyekat 59 aplikasi China termasuk TikTok. Bagi Pompeo, aplikasi tersebut berisiko ke atas keselamatan masyarakat India. India ternyata termakan pujukan AS. Perdana Menteri India Narendra Modi meminta syarikat AS menanam pelaburan di negaranya dan New Delhi seperti sudah berpatah arang dengan Beijing akibat sengketa panjang Himalaya.

Sekiranya api sengketa marak dibakar perasaan tidak puas hati, dengki dan sifat berlumba-lumba untuk menguasai dunia, persengketaan bermula di Laut China Selatan ini berpotensi merosakkan seluruh dunia dari Timur ke Barat.

Di Barat, sejak kebelakangan ini wujud teori konspirasi berkaitan Qanon yang wujud dengan simbol Q.

Foto AFP

Lawan pemuja syaitan

Para pengikut bersimbol Q ini yakin Trump ialah tokoh tepat untuk berperang melawan kumpulan elit global yang dikatakan pemuja syaitan dan pengamal paedofil. Twitter dilaporkan menyekat sekitar 7,000 akaun yang dikaitkan dengan kewujudan Qanon, tetapi diakui ia tidak melemahkan kumpulan ini.

Penganut teori Q percaya, jika Trump tidak memenangi Pilihan Raya Presiden 2016, elit global rahsia ini terus berkuasa.

Sebaliknya mereka percaya Trumplah yang menumpaskan penguasa bayangan tersebut

Konspirasi

Teori konspirasi Qanon sangat misteri dan janggal. Persoalannya sejak bila pula dunia yang luas ini melihat Trump sebagai hero menyelamatkan dunia? Dalam mendepani pandemik Covid-19 di AS sahaja Trump dilihat lemah dan gagal total.

Malah sepanjang perintahan Trump, terlalu banyak tercetus konfrontasi AS dengan kuasa besar seperti PBB serta negara lain di dunia.

Jika Trump menang sekali lagi, ramai meramalkan dunia berdepan bahaya. Dan kemungkinan untuk Trump tidak mengekalkan pusingan kedua kuasanya di kerusi presiden adalah tinggi.

Hampir semua negara di Asia Tenggara membantah usaha China mengukuhkan cengkamannya ke atas pulau-pulau yang kekal mempunyai tuntutan bertindih.

Pada masa yang sama tidak semua negara Asia Tenggara bersikap berkecuali, bersetuju cara sengketa Laut China Selatan ditangani oleh AS mahupun China yang berminat menguruskan krisis dengan kapal perang dan pesawat pengebom! Teori konspirasi Qanon silap meletak Trump sebagai wira!