SERIAN: Misteri kemunculan kereta mewah di kawasan ladang sawit pada waktu malam dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Kampung Mongkos agak mengganggu penduduk.

Turut kelihatan beberapa wajah ‘baharu’ yang bertandang ke kawasan kampung dan bergerak aktif secara berkumpulan selama tiga hari berturut-turut sekitar jam 10 malam dan ke atas.

Timbalan Ketua Kampung Mongkos Gerim Tangge berkata, beliau sudah mengusulkan perkara terbabit kepada pihak penguat kuasa, namun tidak membuat laporan secara rasmi berikutan hanya menerima aduan lisan daripada penduduk kampung.

Gerim Tangge

Jelasnya, sejak adanya penguatkuasaan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, kecurian dan penyeludupan Pati dilihat semakin berkurangan.

Bagaimanapun katanya, kerjasama daripada penduduk kampung bersama-sama PGA perlu ditingkatkan bagi memastikan segala kegiatan jenayah yang berlaku di Kampung Mongkos dapat dibanteras secara berterusan.

Tambahnya, penduduk kampung turut bergerak selari dengan pasukan penguat kuasa dengan menubuhkan pasukan Rela yang melakukan rondaan di sekitar kampung.

Beliau dalam pada itu menyeru pihak berkaitan untuk menempatkan pos kawalan secara tetap termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PGA demi memastikan keselamatan kampung itu yang terletak di sempadan.

Tinjauan Suara Sarawak di lokasi mendapati kawasan tersebut kini menjadi antara kawalan utama pihak penguat kuasa selain melakukan rondaan di kawasan perumahan penduduk kampung.

Operasi kawalan 24 jam tanpa henti pasukan itu bagaimanapun tidak mendedahkan keadaan sebenar modus operandi operasi dijalankan. Ketua Operasi PGA Mongkos Inspektor Shafik Mohd Nawi berkata, orang awam khususnya penduduk kampung diminta bekerjsama dengan berkongsi sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada PGA.

“Pihak kami sentiasa dalam keadaan sedia dan beroperasi 24 jam tanpa henti. Sekiranya ada individu yang ingin tampil ke pejabat untuk bertemu dengan anggota penguat kuasa, kami alu-alukan,” tambahnya.

Jarak pintu penghadang sempadan Mongkos ke kampung Sogomon, Indonesia dianggarkan lebih kurang lima kilometer dan memakan masa satu jam perjalanan menggunakan kenderaan.

Kawasan tersebut sibuk dengan aktiviti pertanian seperti ladang kelapa sawit dan lada hitam yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Foto Ghazali Bujang