KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup lima pendatang asing tanpa izin(PATI) menerusi Sekatan Jalan Raya di Jalan Kuching-Serian, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pihaknya pada awalnya menahan sebuah van yang dipandu oleh warga tempatan ketika melakukan Op Benteng di lokasi sekitar jam 3 pagi.

“Hasil pemeriksaan menemui lima orang warganegara Indonesia bersembunyi di tempat duduk belakang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penumpang membawa passport namun tiada cop masuk daripada Jabatan Imigresen,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

PATI… Kesemua PATI diarahkan untuk membuat saringan kesihatan terlebih dahulu

Tambahnya, kesemua PATI dan pemandu kenderaan terbabit telah ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, PATI pada awalnya menunggu di stesen bas Serian sebelum diangkut oleh ejen pengangkut yang disajikan dengan upah lumayan.

“Ejen pengangkut telah disajikan dengan ganjaran lumayan sehingga tidak khuatir kepada ancaman pandemik Covid-19,” tegasnya.

Beliau selain itu turut mendedahkan PATI itu dipercayai masuk melalui jalan tikus dan direncanakan untuk dihantar kepada seorang individu yang menunggu di Kota Samarahan.

Susulan itu, katanya, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342).