KUCHING: Kerajaan GPS komited untuk melihat keperluan Sarawak khususnya pembangunan prasarana sebagai kerangka penting bagi memacukan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penyediaan hubungan fizikal dan bukan fizikal diperhebatkan dalam tempoh dua tahun ini dan disambung pada RMK-12 hingga 2030.

“Selain pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo oleh Kerajaan Persekutuan, Sarawak sendiri akan membangunkan jalan raya pesisir pantai dan laluan utama kedua dengan kos RM11 bilion,” katanya.

Abang Johari berkata, kawasan pedalaman sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Sarawak dan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan di kawasan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (Urda), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion.

“Peruntukan besar ini diwujudkan melalui kaedah pembiayaan alternatif.

“Tidak mungkin dalam masa terdekat, kawasan ini mendapat peruntukan yang begitu besar bagi tujuan membangunkan kemudahan infrastruktur jika bergantung sepenuhnya kepada bajet tahunan Kerajaan Persekutuan.

“Sekarang ini, projek infrastruktur di ketiga-tiga kawasan sudah dilaksanakan termasuk memberi suntikan ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sedang berusaha gigih mendirikan menara telekomunikasi khususnya di luar bandar dan pedalaman bagi menyediakan liputan Internet dan setakat ini, lebih 170 didirikan di seluruh negeri.

Namun katanya, tanpa pembekal perkhidmatan, program ini tidak akan mencapai matlamatnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak tekad melakukan intervensi menyediakan perkhidmatan melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kemungkinan penyediaan subsidi agar kadar bayaran perkhidmatan tidak begitu tinggi.

“Ini antara program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan mengikut perspektif Sarawak.

“Saya yakin dengan langkah yang diambil Kerajaan Sarawak berdasarkan keperluan negeri ini bagi mencapai tahap pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dan berupaya menjadi negeri maju dalam masa 10 tahun lagi,” katanya.