KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersedia mengenakan langkah-langkah tertentu bagi mengekang jangkitan Covid-19 daripada terus menular, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia susulan berlaku peningkatan jangkitan wabak berkenaan di Daerah Kuching dan Samarahan.

“Perjuangan kita memerangi Covid-19 belum selesai. Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan langkah seterus yang mungkin dilaksanakan,” katanya.

Pada Isnin lalu, JPBN memutuskan masa operasi semua perniagaan di Kuching, Samarahan dan Serian dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa pada 1 hingga 14 Ogos nanti.

Selain itu, pada tarikh sama pergerakan dari Zon 1 (meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian) ke Zon 2 (meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang) dilarang dan perlu mendapatkan kebenaran polis.

Bagaimanapun, pergerakan di dalam zon dibenarkan dengan pengecualian pergerakan yang dibenarkan seperti menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.

Semua penerbangan komersial dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan ke Sarawak juga dikurangkan termasuk menjalani kuarantin wajib.