KEJADIAN lemas semakin membimbangkan warga Sarawak sekarang ini, terutama mereka yang tinggal di kawasan tepi sungai, parit besar atau kolam.

Baru-baru ini terdapat dua kejadian lemas yang meragut dua nyawa, di tempat yang berbeza.

Kes pertama melibatkan kanak-kanak yang memancing, manakala satu lagi kes melibatkan orang dewasa yang mandi-manda bersama-sama keluarganya.

Malah, terdapat juga kes mangsa dibaham buaya di dua tempat berasingan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Kejadian seumpama ini sukar diduga. Oleh itu kita perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap keselamatan diri, keluarga mahupun masyarakat sekitar.

Agak malang apabila terdapat mereka yang mengambil mudah tentang aspek keselamatan ketika berada di sungai atau kawasan berair yang boleh meragut nyawa.

Ramai yang beranggapan sungai tempat yang tenang untuk melepaskan tekanan selepas sibuk bekerja atau belajar, namun sungai juga boleh meragut nyawa.

Kita tidak mahu kegembiraan mandi-manda di sungai bertukar tragedi, seperti yang sering berlaku.

Ketika sesi persekolahan ditutup akibat Covid-19 menyebabkan kanak-kanak dan remaja menghabiskan masa untuk berada di dalam atau tepi sungai, terutama mereka yang tinggal di kawasan kampung.

Ada yang mengisi masa lapang seperti memancing, menjala ikan dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang membantu ibu bapa mencari rezeki selain mengisi masa lapang.

Kejadian lemas nampaknya semakin menular di seluruh negara.

Kejadian demi kejadian berlaku saban hari, mahupun saban minggu.

Ini amat membimbangkan kerana selain berhadapan dengan wabak Covid-19 kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran lain termasuk penjagaan keselamatan semasa berada di sungai.

Pertama, kita mesti berhati-hati ketika berada di sungai.

Kita juga harus berfikir bahawa bahaya ada di mana-mana, apatah lagi ketika berada di sungai.

Sungai bukan sahaja boleh melemaskan, tetapi terdapat pelbagai hidupan liar seperti buaya, ular, batu dan sebagainya.

Semua ini boleh memberi ancaman kepada kita.

Kedua, peranan ibu bapa mendidik anak-anak juga penting.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu ibu bapa hendaklah sentiasa memberikan peringatan dan nasihat kepada anak-anak.

Bagi ibu bapa yang cukup berpengalaman tentang asam garam sungai, mungkin boleh terlupa dengan aspek keselamatan. Ini kerana bagi mereka sungai adalah sumber rezeki, dan tempat permainan suatu ketika dahulu.

Jadi, kesedaran tentang bahaya sungai pastinya agak kurang.

Bagi mereka yang gemar mandi-manda di kawasan air terjun juga perlu sentiasa berhati-hati.

Kita tidak mahu kegembiraan bertukar tragedi ketika bersantai di sungai atau air terjun.

Sekiranya kita tidak begitu arif tentang kawasan air terjun, mandilah di tempat-tempat yang tidak membahayakan.

Jangan cuba untuk mencari cabaran baharu sekiranya ilmu pengetahuan tentang sungai, air terjun atau kolam besar masih cetek.

Ini kerana limpahan air terjun boleh menyebabkan kita tidak dapat naik ke permukaan air.

Malah kita juga berhadapan dengan risiko untuk dihanyutkan.

Lebih membahayakan sekiranya ada yang membawa anak-anak kecil.

Mereka akan terdedah kepada bahaya walaupun berada di kawasan yang cetek airnya.

Oleh itu, kita harus berwaspada dan sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di sungai atau kawasan air terjun.

Ambillah iktibar daripada beberapa kejadian sebelum ini.

Jadikan ia sebagai pengajaran dan panduan penting ketika berada di kawasan yang berisiko mengancam nyawa.

Sayangilah nyawa anda.