KOTA KINABALU: Fokus sepenuhnya perlu diberikan kepada mentadbir negeri dan negara, bukan mengenai isu siapa yang harus dilantik menjadi perdana menteri seterusnya, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata pendiriannya itu telah disampaikan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka di bangunan Parlimen baru-baru ini, termasuk mengenai cadangan pencalonannya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna tidak memaklumkan sama ada pertemuan itu berlangsung secara rasmi ataupun santai.

“Datuk Seri Anwar (Ibrahim) nak berjumpa dengan saya, dan saya nyatakan pendirian tentang perkara itu (cadangan pencolanan sebagai perdana menteri). Bagi saya, cadangan daripada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir itu adalah satu penghargaan.

“Bagi saya, fokus kita adalah mentadbir negara dan negeri, berbanding kita nak (memikirkan) siapa perdana menteri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafie berkata cadangan mencalonkan beliau sebagai perdana menteri dilihat sebagai penyelesaian terhadap kebuntuan politik dalaman PH, dan sekiranya beliau mampu menyatupadukan PH, ia adalah satu langkah baik, namun beliau tidak mahu memberi tumpuan berhubung perkara itu kerana apa yang lebih penting adalah untuk mentadbir Sabah dengan baik.

Pada 25 Jun lepas Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata keputusan memilih Mohd Shafie dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Parti Amanah Negara, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah di Kuala Lumpur.