SERIAN: Penduduk di Kampung Merakai di sini dapat menikmati bekalan air bersih setelah projek pembinaan saluran paip siap dilaksanakan.

Menurut kenyataan Kementerian Utiliti semalam, ia memberikan manfaat kepada 445 penduduk di kampung tersebut.

“Sebelum projek pembinaan saluran paip ini dilaksanakan, penduduk di kampung ini hanya mendapatkan bekalan air melalui sumber air hujan.

“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan JBALB Sarawak sebagai agensi pelaksana bergabung tenaga merancang dan merangka satu projek bagi menangani isu bekalan air ini,” katanya.

Tambahnya, projek pembinaan saluran paip ke Kampung Merakai mendapat perhatian dan kelulusan oleh Kerajaan Sarawak dan ia membolehkan projek tersebut dilaksanakan.

“Kos projek sekitar RM5 juta dan siap dilaksanakan pada 15 Disember 2019. “Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini merangkumi pembinaan saluran paip jenis 250 mm diameter dan 225 mm diameter dari Simpang Ladang Gedong ke Kampung Merakai,” jelasnya.

Kementerian Utiliti juga mendedahkan bahawa projek ini memberi impak besar kepada penduduk di Kampung Merakai termasuk 55 kakitangan dan pelajar di SK Merakai, Serian.

“Kini, penduduk di Kampung Merakai menikmati bekalan air lebih baik berbanding keadaan sebelumnya atas hasil usaha berterusan dan komitmentinggi Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan JBALB Bahagian Serian,” ujarnya lagi.