IPOH: Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tujuh pertuduhan melakukan keganasan seksual ke atas isterinya pada April lepas.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Himni Nur Hamid, 36, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Bapa empat anak itu didakwa mengurung, melakukan seks luar tabii dan persetubuhan hingga menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berumur 36 tahun dan memiliki video cakera padat (VCD) lucah, di sebuah rumah di Kampung Padang Tembak, Lumut, pada 16 dan 17 April lepas.

Tertuduh dihukum penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap empat pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii termasuk menggunakan zakar palsu terhadap isterinya dan dipenjara dua tahun bagi satu pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Dia juga dipenjara setahun bagi dua pertuduhan kerana mengurung isterinya selain memiliki 13 keping VCD lucah.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula kelmarin dan ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dan lapan sebatan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zamani Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat kerana difahamkan keganasan rumah tangga terhadap isterinya itu bukanlah kali pertama namun telah berlaku sejak empat tahun lalu selepas mereka berkahwin pada 2004.