PILIHAN Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 mungkin akan berlaku serentak.

Mungkin juga akan berselisih. Semuanya berada di dalam genggaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Banyak pemerhati politik melihat tempoh paling sesuai untuk melangsungkan hari penting itu adalah pada tahun ini.

PRN Sarawak mempunyai tarikh matang pada tahun hadapan, manakala Parlimen hingga 2023. Tahun 2020 — kini berbaki lima bulan lagi.

Jika PRU dilangsungkan pada tahun ini, ia perlu diadakan sebelum Belanjawan 2021, yang berlaku mungkin Disember.

Tujuannya, sesiapa yang menang akan lebih mudah membentangkan usul penting tersebut di Dewan Rakyat selepas ini.

Ini berikutan situasi politik negara yang masih tidak stabil ketika ini. Kegagalan mengadakan pilihan raya akan menyukarkan pengundian di Dewan Rakyat, kerana jurang perbezaan kerusi Parlimen begitu kecil.

Dalam konteks Belanjawan 2021, ia akan menjadi lebih parah jika ia gagal diluluskan.

Risikonya pada perbelanjaan pada tahun berikutnya.

Disember sebenarnya bukan pilihan utama, kerana bukan kebiasaan untuk pilihan raya diadakan sebelum perayaan besar seperti Krismas.

Selain itu, keadaan cuaca diramal kurang sesuai. Bulan Disember hingga Februari merupakan waktu monsun timur laut bertiup kencang, serta membawa bersamanya musibah ribut dan banjir.

Ini cukup berbahaya untuk negeri-negeri di Pantai Timur. Kerana itu, pemerhati politik melihat bulan Oktober dan November paling sesuai.

Berdasarkan rekod, Pilihan Raya Umum kali ini merupakan yang ke-15. Pilihan raya pertama berlangsung pada 19 Ogos 1959; diikuti PRU-2 pada 25 April 1964. PRU-3 diadakan pada 10 Mei 1969 PRU-4 (24 Ogos 1974); PRU-5 (8 Julai 1978); serta PRU-6 ( 22 April 1982). Malaysia melaksanakan PRU-7 pada 3 Ogos 1986 diikuti PRU-8 ( 21 Oktober 1990); PRU-9 (25 April 1995); PRU-10 (29 November 1999); PRU-11 (21 Mac 2004); PRU-12 (8 Mac 2008); PRU-13 (5 Mei 2013); dan PRU-14 (21 Mac 2018).

Sarawak mula mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 1969. Pada 1959 dan 1963, ia juga mengadakan pilihan raya, tetapi untuk peringkat Majlis Daerah.

PRN Sarawak yang pertama berlangsung pada 10 Mei hingga 7 Jun 1969. Ia melibatkan 48 kerusi dan 332,373 pemilih.

Daripada jumlah itu, 265,898 orang atau 80 peratus pemilih melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pada 1974, PRN Sarawak kedua berlangsung. Ia diadakan bermula 24 Ogos hingga 14 September, juga melibatkan 48 kerusi dan 375,282 pemilih.

PRN Sarawak ketiga berlangsung pada 21-22 September 1979, melibatkan 48 kerusi dan 375,282 pemilih.

Pilihan raya inilah yang memisahkan negeri Sarawak daripada Pilihan Raya Umum kerana Ketua Menteri ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub tidak mahu kedua-dua pilihan raya ini diadakan bersama, atas strategi politik.

Pada 28 hingga 29 Disember 1983, PRN Sarawak keempat diadakan, melibatkan 505,872 pemilih yang mengundi untuk 48 kerusi.

Kerusi yang sama terus menjadi rebutan pada 15 hingga 16 April 1987. Ia merupakan pilihan raya terhangat kerana dilangsungkan berikutan krisis politik Ming Court dan melibatkan 451,234 pemilih.

Pada 27 hingga 28 September 1991, PRN Sarawak keenam diadakan. Kali ini sejumlah 723,743 pemilih layak mengundi untuk 56 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada jumlah tersebut, hanya 500,455 pemilih, atau 69.79 peratus yang turun mengundi. Jumlah kerusi di negeri ini ditingkatkan lagi kepada 62 kerusi pada PRN Sarawak ketujuh, yang diadakan pada 7 hingga 8 September 1996.

Sejumlah 372,594 pemilih atau 64.18 peratus daripada 814,347 pemilih telah menunaikan hak mereka.

Pada PRN Sarawak pada 27 September 2001, sejumlah 542,285 pemilih daripada 868,487 yang layak telah menunaikan tanggungjawab mengundi manakala pada 20 Mei 2006, 549,603 pemilih daripada 892,537 yang layak, mengundi untuk 71 kerusi yang disediakan.

PRN Sarawak yang berikutnya diadakan pada 16 April 2011 melibatkan 71 kerusi, manakala pada 7 Mei 2016, 82 kerusi dipertandingkan selepas persempadanan semula diadakan beberapa bulan sebelum itu.

Daripada 1,139,647 mereka yang layak mengundi, sejumlah 778,819 orang telah melaksanakan hak mereka.

Kenapa Kerajaan Pakatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak memilih untuk mengadakan pilihan raya tahun ini?

Ada beberapa faktor perlu diambil kira, termasuk kesiapsiagaan parti itu sendiri. Ketika ini situasi parti politik yang menjadi lawan mereka dalam keadaan tidak menentu, malah berhadapan seribu satu masalah.

Manakala dalam kalangan parti yang memerintah, mereka semakin kukuh dalam menyelesaikan sebarang masalah dalaman.

Pastinya kekalahan pada PRU sebelum ini banyak membuahkan pengajaran. Situasi dalaman negara juga sedang dalam proses pemulihan pasca-Covid-19.

Justeru rakyat masih berada dalam keadaan lega dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Selain itu, rakyat juga muak dengan sikap berpolitik 24 jam yang ditunjukkan oleh kerajaan sebelum ini, dan baru beberapa bulan ini berasa diperintah oleh sebuah kerajaan yang sebenar.

Justeru, apabila mandat baharu ditagih, pasti ia lebih berat kepada Kerajaan Sarawak. Ancaman pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi juga sukar diramalkan pada tahun hadapan.

Mungkin lebih teruk dan sukar. Justeru, apabila ia masih dapat dikawal pada waktu ini, lebih baik pilihan raya diadakan awal, agar tuntutan demokrasi dapat dilaksanakan oleh rakyat tanpa dihantui ancaman kesihatan dan sentimen lain.

Selain itu, Singapura juga telah mengadakan pilihan rayanya dengan jaya pada awal bulan ini. Justeru ia menjadi bukti bahawa adalah terbaik untuk mengadakan hari penting ini pada kadar segera.

Dari sudut tuntutan ekonomi, adalah bijak untuk mengadakan pilihan raya ini secara serentak kerana kos pelaksanaan pilihan raya serta kempen menjadi murah dan jimat.

Ia sememangnya pilihan raya di negara ini diadakan secara serentak sejak penubuhan Malaysia, dan hanya dipisahkan pada 1978.