KUCHING: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak akan melaksanakan Op Lancar sehingga 3 Ogos nanti bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata tumpuan adalah di lokasi-lokasi yang dijangka mengalami kesesakan dan juga yang kerap berlaku kemalangan.

“Sebanyak 23 lokasi telah dikenalpasti dan kebanyakannya adalah di bandar-bandar besar seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu yang mempunyai jumlah penduduk dan kenderaan yang padat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Alexson, tujuan operasi adalah bagi penyuraian trafik dan memastikan kelancaran lalu lintas serta aliran trafik dikawal terutama pada waktu puncak.
Pada masa sama, katanya PDRM Sarawak juga akan menguatkuasakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Op Covid-19 di kawasan tumpuan di seluruh Sarawak dan juga di lokasi-lokasi persinggahan orang ramai di sepanjang Jalan Pan-Borneo.

“Kami juga akan sentiasa memberi keutamaan kepada penguatkuasaan undang-undang dan menentukan tindakan yang perlu kepada mereka yang melanggar peraturan lalu lintas,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi had laju yang ditetapkan semasa memandu serta sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sentiasa pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan terutamanya yang akan bergerak jauh.

“Rancangkan masa perjalanan dan sekiranya letih atau mengantuk, cuba ambil masa rehat sekurang-kurangnya 15 minit atau ganti pemandu,” katanya.