KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meminta rakyat terus mengingati erti pengorbanan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha esok, khususnya dalam keadaan negeri masih menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

Dalam perutusan sempena sambutan ini, beliau berkata seluruh negara sedang berhadapan dengan penularan penyakit itu dengan daerah Kuching dikategorikan semula sebagai Zon Merah kerana jumlah jangkitan yang telah meningkat kepada dua angka.

Menurutnya, sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan virus itu sememangnya telah membawa banyak kesulitan kepada kehidupan seharian rakyat

“Janganlah diambil mudah SOP (prosedur operasi standard) yang dikuatkuasakan kerana kita perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa kita nikmati demi keselamatan kita semua daripada COVID-19,” katanya.

Beliau juga meminta rakyat yang berada di Zon Hijau supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan protokol yang dikenakan, khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka bagi memastikan tiada kes baru penyakit itu berlaku di kawasan mereka.