KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan agar tidak mengambil mudah dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya di zon merah.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, SOP berkenaan dikuatkuasakan apabila perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa dinikmati demi keselamatan semua pihak daripada pandemik Covid-19.

“Ini kerana Daerah Kuching dikategorikan semula sebagai zon merah kerana jumlah jangkitan yang meningkat kepada dua angka.

“Justeru, sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan virus Covid-19 membawa banyak kesulitan kepada kehidupan seharian kita,” katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidiladha yang diraikan umat Islam seluruh dunia pada esok.

Tegas Abang Johari, penduduk yang berada di zon hijau pula dinasihatkan agar sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa dan protokol khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka agar terus hijau.