KUCHING: Pergerakan antara zon di Sarawak tidak dibenarkan mulai 1 Ogos ini kecuali dengan kebenaran bertulis daripada pihak Polis, tegas Dr Chin Zin Hing.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak itu berkata, individu yang ingin melakukan pergerakan antara zon perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pegawai Polis yang bertugas di Balai Polis berhampiran dengan kediaman masing-masing.

Menurutnya, arahan tersebut melibatkan dua zon di Sarawak iaitu zon 1 dan zon dua.

“Zon 1 meliputi kawasan Kuching, Samaharan, Serian dan mengikut persempadanan pentadbiran di negeri ini.

“Manakala, bagi Zon 2 ia meliputi kawasan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan juga mengikut persempadanan pentadbiran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian yang diadakan di Bangunan Dun Lama, di sini hari ini.

Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memutuskan untuk mengehadkan perjalanan antara zon di negeri ini bermula pada 1 hingga 14 Ogos 2020 nanti.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas baru-baru ini mengumumkan bahawa, perkara tersebut melibatkan kawasan Zon 1 dan Zon 2.

Pengecualian pergerakan yang dibenarkan adalah untuk menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.