KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tidak ketinggalan bersama-sama agensi kerajaan dan IPT lain bagi meraikan dan memeriahkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat Unimas yang diadakan secara sederhana disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas Profesor Dr Kamarudin Kana di Dataran Canselori di sini.

Beliau berkata, warga Unimas perlu terus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dengan menjalinkan kerjasama yang utuh setiap masa.

“Kita harus bekerjasama untuk mengekalkan kemerdekaan. Ini anugerah harus kita pertahankan meskipun terpaksa dalam kelaziman baharu kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tambahnya, tema Malaysia Prihatin menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat terutama semasa pandemik Covid-19 sekarang ini. Justeru beliau menjelaskan amat penting warga Unimas untuk terus meningkatkan patriotisme yang bukan sahaja menghasilkan rasa cinta dan hormat akan tanah air tetapi perasaan kepunyaan yang membawa kebersamaan.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Di peringkat Sarawak, majlis yang sama turut dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk  Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan doa dari Al-Fadzil Ustaz Muktar Muhmad dan perarakan Jalur Gemilang oleh tujuh pegawai polis bantuan Unimas diketuai SM Richard Tayak. Walaupun majlis diadakan dengan cara sederhana, namun SOP terus dititikberatkan oleh tetamu kehormat dan warga Unimas yang hadir.