PERTAMBAHAN kes positif Covid-19 sejak dua minggu kebelakangan ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan warga Sarawak, khususnya mereka yang berada di Bahagian Kuching dan sekitarnya.

Ini menyebabkan Kuching yang sebelum ini berada dalam zon hijau, bertukar menjadi kuning dan seterusnya sebagai zon merah.

Ia merupakan loceng amaran dan peringatan penting buat seluruh penduduk Sarawak, terutama di kawasan Kuching. Sebagai rakyat kita perlu akur dengan sebarang keputusan yang dibuat pihak berkuasa, demi kebaikan bersama.

Mereka membuat keputusan berdasarkan kajian menyeluruh serta pandangan semua pihak yang berkaitan. Sejak PKP diperkenalkan pada 18 Mac lalu, kita telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya mematangkan kita untuk berfikir dan bertindak secara rasional.

Sudah pasti ia menuntut ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Sebagai majoriti rakyat yang berada di barisan tengah dan belakang, kita tetap memainkan peranan masing-masing walaupun tidak segetir mereka yang berada di barisan hadapan.

Ingat, semua pihak mempunyai peranan, daripada sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya, kerana ia saling berkait, sama seperti penyebaran wabak ini yang tidak mengenal mangsa, sesiapa sahaja boleh terkena.

Sebagai warga Sarawak kita harus bersyukur terhadap apa-apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sejak penularan wabak ini. Pelbagai bentuk bantuan dan habuan yang diberikan kepada mereka yang terkesan, sehingga tidak ada yang dipinggirkan.

Sebagai tanda kesyukuran, kita hendaklah sentiasa akur dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan selagi wabak ini belum lenyap dari muka bumi. Bagi mereka yang berada di Bahagian Kuching perlu lebih berhati-hati dalam keadaan sekarang ini.

Perlu ada rasa tanggungjawab besar terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Bagi mereka yang berada di luar Kuching pula, tidak boleh sambil lewa, kerana dikhuatiri wabak ini merebak semula ke bahagian-bahagian lain.

Sebagai sebuah negeri berbilang kaum, bangsa dan agama, kita mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi ujian ini, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari sudut spiritual.

Dalam agama Islam misalnya, kita dituntut untuk memperbanyakkan doa ketika menghadapi musibah, terutama selepas sembahyang lima waktu. Ia merupakan cara terbaik untuk memohon bantuan dan keampunan daripada yang Maha Esa dan Pencipta.

Doa perlu diiringi dengan usaha. Insya-Allah kita akan berjaya.

Yang pasti, kita harus berganding bahu, sehati sejiwa dan sama-sama menggembleng tenaga dan idea untuk terus memerangi wabak misteri ini hingga ke peringkat akar umbi.

Ini kerana doa, usaha dan kerjasama merupakan ‘vaksin’ yang mampu membendung penularan virus yang masih belum ada penawar.