KUCHING: Tiga wanita yang mengaku bersalah melacur didenda RM2,000 ataupun dipenjara dua bulan setiap seorang semalam.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan wanita berusia 44 hingga 57 tahun itu didenda setelah mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku menjalankan aktiviti melacur di sebuah rumah urut di Jalan Petanak sekitar jam 3.30 petang, pada 24 Julai lalu.

Menurut fakta kes, sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di sebuah rumah urut di Jalan Petanak setelah mendapat maklumat mengenai kegiatan pelacuran yang dijalankan di kawasan itu.

Dalam serbuan, tiga wanita tempatan berjaya ditahan. Turut dirampas di tempat kejadian satu kondom jenama Hunter (yang telah digunakan) serta wang tunai RM150.

Siasatan lanjut mendapati permit premis tersebut sah sehingga 31 Disember depan.

Tertuduh telah menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada setiap pelanggan dengan harga RM150.

Ketika serbuan diadakan, tertuduh telah ditangkap bersama-sama seorang pelanggan.

Dalam rayuan mereka, kesemua tertuduh meminta mahkamah mengenakan hukuman yang paling ringan dan mereka menyesali perbuatan itu.

Kesemua wanita berkenaan membayar denda berkenaan.