SEMALAM sebanyak 1,182 kes masih menunggu ujian makmal bagi Covid-19 sementara sepuluh kluster masih aktif.

Melihat angka menunggu yang menggerunkan, baru kita percaya bahawa kita benar-benar terbuai dalam gelombang kedua.

Beberapa negara luar juga menunjukkan peningkatan kes seperti Taiwan, Singapura dan tidak terbilang oleh jari kes yang melanda negara jiran kita di Indonesia.

Apa-apa sahaja isu kesihatan berkaitan dengan penularan virus maut itu bukan sahaja menjadi tumpuan dan kerisauan masyarakat negara ini, bahkan juga seluruh dunia.

Kebimbangan ini berasas kerana wabak yang menyerang lebih 200 negara ini disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ujian paling getir sejak meletusnya Perang Dunia Kedua.

Selain meragut ratusan ribu nyawa, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membuat unjuran, dunia dijangka mengalami penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan ‘The Great Depression’ yang berlaku pada 1930-an.

Sampai bila kita hidup dikelilingi perasaan takut dan gusar?

Ayuh, mulakan dari sekarang untuk bersama-sama memerangi krisis kesihatan global ini.

Jika kita sebagai rakyat gagal mematuhi SOP yang dibenarkan, kita semua akan menyaksikan peningkatan kes positif di Sarawak.

Ini yang kita tidak mahu. Jadi, tolong lakukan kawalan kendiri seperti penjarakan sosial, jangan berhimpun dan patuhi semua garis panduan yang dibenarkan.

Begitu juga larangan rentas zon yang diumumkan semalam, tidak dibenarkan kecuali untuk kes-kes kecemasan dan tugasan rasmi.

Tidak usahlah kita berebut-rebut balik bercuti apabila sekolah anak kita ditangguhkan.

Duduk sahaja di rumah. Apabila kita bekerjasama melakukan pematuhan peraturan, kita sebenarnya berjaya mengurangkan jangkitan.

Silapnya kita apabila kerajaan membuka semua penguncian pelbagai sektor.

Kita lupa bahawa virus ini masih berleluasa. Lihat sahaja di kedai makan, sehingga minggu lepas banyak yang duduk melepak tanpa penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka seolah-olah kita yakin virus itu sudah hilang.

Untuk itu, bermula esok, pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di banyak tempat, antaranya ketika menaiki pengangkutan awam, tempat awam yang sesak, kedai makan serta pasar raya.

Pastikan juga menggunakan pelitup muka yang mematuhi spesifikasi ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jangan leka dan alpa!

Ia hanya akan menyebabkan jangkitan semakin meningkat.

Ingatlah, sehingga hari ini dunia belum menemui vaksinnya jadi, teruskan slogan kita jaga kita.