SARIKEI: Kuih takir atau kuih perahu ialah satu nama yang tidak dapat dipisahkan dengan Kampung Selalang yang terletak kira-kira 26 kilometer dari pusat bandar Sarikei.

Ini kerana kuih tradisi yang diusahakan secara turun-temurun oleh kaum wanita kampung ini memang cukup terkenal dengan rasanya yang enak, lemak dan sedap.

Justeru tidak hairanlah jika permintaan terhadap kuih takir Selalang meningkat setiap kali keramaian dan musim perayaan termasuk sambutan Aidiladha.

Pengusahanya Maria Amin, 54, berkata, keenakan rasanya menjadikan kuih takirnya kekal menjadi pilihan ramai hingga ke hari ini.

Malah katanya, mereka sering tidak cukup tangan membuatnya terutama pada musim perayaan berikutan permintaan tinggi penduduk kampung dan pelanggan dari luar Kampung Selalang.

“Takir sangat mudah disediakan kerana hanya menggunakan tepung beras, daun pandan, santan kelapa dan gula apong.

“Campuran itu kemudian dimasak sebelum dimasukkan ke dalam daun nipah yang dianyam segi empat tepat atau memanjang.

“Sebenarnya, kita tidak mempunyai rahsia tertentu untuk menyediakan kuih ini.

Malah, resipi asalnya dikekalkan bagi menjamin keaslian rasanya.

“Kuih ini boleh dimakan pada bila-bila masa. Namun, tidak lengkap tanpa kopi, teh atau milo panas. Pendek kata, sekali rasa memang teringin nak makan lagi,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Maria, mereka mampu menghasilkan lebih 500 bungkus kuih takir dalam satu-satu masa, namun bergantung kepada keupayaan mereka yang membuatnya.

Setiap kali menjelang musim perayaan katanya, beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan penggemar kuih itu dari sekitar Selalang.

Kebiasaannya, Maria akan memulakan kerja memasak lebih awal supaya pelanggannya dapat mengambil tempahan mengikut masa yang sudah ditetapkan.

“Permintaan terhadap kuih tradisional ini sebenarnya cukup tinggi terutama pada bulan puasa.

“Namun, ia juga menjadi pilihan setiap kali perayaan menjelma,” katanya.