SAHABAT. Setiap daripada kita sudah tentu mempunyai sahabat baik yang sering ada ketika diperlukan.

Jatuh bangun, gembira dan duka diharungi bersama-sama.

Berapa ramaikah sahabat anda ketika ini? Adakah setiap sahabat itu boleh dikategorikan sahabat yang sering ada bersama-sama anda?

Bagaimana pula kesanggupan mereka untuk bersama-sama anda ketika musibah?

Menurut ahli psikologi Kurt Lewin, persahabatan ialah hubungan peribadi yang akrab melibatkan setiap individu sebagai suatu kesatuan; manakala rakan adalah peringkat hubungan dalam perkembangan ke arah persahabatan.

Sempena Hari Persahabatan Sedunia yang disambut hari ini, saya berkongsikan pengalaman sendiri bersama-sama beberapa sahabat yang sering ada ketika senang dan susah.

Tanggungjawab ibu bapa bekerja di tempat orang dan sering bertukar tempat kerja menyebabkan saya berjumpa dengan pelbagai jenis sahabat yang sehingga kini masih membantu ketika diperlukan.

Bermula dari sekolah rendah hingga ke zaman bekerja, seorang bergelar sahabat bagi saya sering bertukar ganti.

Namun mereka tidak pernah dilupakan dan sering bertanyakan khabar.

Pengalaman sendiri pertama kali belajar di Unimas pada 2014. Walaupun melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, tiada kenalan bukan satu masalah bagi saya kerana sudah terbiasa.

Bapa sering risau kerana saya seorang yang sukar berkomunikasi dan bersosial dalam keadaan baharu.

Pada masa itu, datanglah seorang insan bernama Diana. Insan tersebut merupakan rakan sekolah menengah saya tetapi tidak pernah bertegur.

Namun kali ini, Diana sendiri datang kepada saya untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Jatuh bangun, sakit, tiada duit selama empat tahun di Unimas, Diana dan seorang sahabat bernama Laura sering ada.

Setiap kali sambutan hari jadi, mereka berdua sering membuat kejutan kepada saya.

Selama empat tahun, sambutan hari jadi menjadi satu kewajipan bagi kami.

Pada suatu hari, saya telah jatuh sakit. Tinggal berseorangan di kolej tanpa peneman.

Apabila Diana tahu akan perkara tersebut, dia sanggup membelikan hanya setin minuman tenaga 100 plus dan memasak sendiri bubur untuk melegakan demam saya.

Saya tahu dia bukan orang berkemampuan. Walaupun untuk membeli setin air itu sahaja, bagi Diana itulah belanja untuk sehari.

“Tidak apa. Rezeki boleh dicari, tetapi sahabat sakit perlu ada teman tatkala tiada ibu bapa bersama,” katanya.

Leteran Diana kadangkala membuatkan saya rindu kepada ibu di kampung.

Perangainya tidak tumpah seperti seorang ibu yang prihatin terhadap anaknya.

Kepakaran Diana memasak juga mengajar saya untuk tahu memasak. Dia mengajar pelbagai masakan kampung, hinggakan ibu sendiri terkejut melihat saya daripada tidak minat memasak hingga tahu menggunakan senduk dan kuali.

Di asrama, merekalah sahabat kerana kursus pengajian yang berbeza menyebabkan saya tiada sahabat lain selepas waktu kuliah.

Berbeza pula ketika kuliah. Proses pembelajaran sukar jika tiada sahabat yang memahami apa-apa yang kita pelajari.

Ketika ini juga, saya bertemu dengan sahabat bernama Nur Hazirah Shukur.

Seorang yang peramah dan riang. Insan yang sering saya panggil sebagai Neng ini bukan hanya bersama ketika waktu kuliah, malah kami menjadi wartawan di bawah akhbar yang sama hingga hari ini.

Sampai satu ketika, kami berdua dipanggil seperti belangkas kerana keakraban kami berdua. Setiap tugasan termasuk selepas waktu bekerja sering dilihat berdua hingga ada yang salah tanggap mengenai persahabatan kami.

Namun kami berdua hanya menganggap itu sebagai perkara biasa. Banyak pengalaman dirasai bersama Neng.

Dimarahi oleh pensyarah ketika melakukan pembentangan kerana tiada persediaan, tersesat dalam hutan ketika tugasan luar kawasan, dari saiz pakaian S sehinggalah mampu memakai saiz XL – kami jadi sama, itulah sahabat. Ke mana-mana sahaja,

Neng sering ada. Sehingga satu saat, rakan lain yang berasa pelik jika salah seorang daripada kami berdua tidak kelihatan bersama.