KUCHING: Tiada masalah kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) di Hospital Sentosa buat masa ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada peringkat awal penularan wabak Covid19, memang terdapat masalah kekurangan PPE untuk kakitangan di hospital.

“Tetapi Jawatankuasa Pengurusan Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa meminta laporan daripada Jabatan Kesihatan Sarawak (JKNS) mengenai jumlah PPE sedia ada.

“Sekiranya terdapat masalah untuk bekalan tersebut, Kerajaan Sarawak akan sedaya upaya membantu memberikan kemudahan yang diperlukan untuk menangani krisis ini,” katanya yang juga Pengerusi JPBN.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menjelaskan terdapat beberapa aduan mengenai JKNS tidak menyediakan bekalan PPE yang mencukupi untuk kakitangan hospital.

Sementara itu Pengarah JKNS Dr. Chin Zin Hing berkata, pihak mereka masih menerima bekalan PPE sekiranya ada pihak yang menderma.

Ujarnya, penerimaan PPE yang diderma itu tidak bermaksud JKNS kekurangan PPE untuk menampung bekalan di hospital.

“Setakat ini, sarung tangan getah boleh bertahan untuk kegunaan 69 hari.

“Malah, penggunaan PPE ini semakin berkurangan berbanding kali pertama kes Covid-19 melanda di Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai pelitup muka yang sesuai digunakan oleh orang ramai, Zin Hing berkata, pelitup muka yang sesuai adalah yang mempunyai tiga lapisan.

“Bagi mereka yang menggunakan pelitup muka yang boleh dipakai lebih daripada sekali, ia juga perlu mempunyai tiga lapisan dengan penapis di tengah lapisan tersebut,” ujarnya.