BINTULU: Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu ditubuhkan dengan matlamat untuk memperkasakan wanita Dayak khasnya dan wanita Sarawak amnya melalui pelbagai aktiviti ilmiah.

Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Prof Jayum Jawan berkata, ia juga berorientasikan tindakan seperti melakar sejarah dan asal usul Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS).

“Seterusnya menanda aras pembangunan wanita Dayak sebagai pelan ke hadapan dan menganjur kursus serta latihan berdasarkan keperluan ahli SIDS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat ketika menerima kunjungan hormat SIDS Cawangan Kemena dan Bintulu, di sini, semalam.

Kunjungan diketuai Pengerusi SIDS Cawangan Kemena Jenny Bangga. Jayum berharap UPMKB dan SIDS akan berkerjasama bagi merintis ke arah pembangunan SIDS dan wanita Dayak.

Sementara itu, Jenny berharap menerusi kunjungan itu, ahli SIDS dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam semua bidang.

“Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu bukan hanya untuk mereka yang ingin menjalankan penyelidikan tetapi juga boleh digunakan untuk menganjurkan seminar dan kursus yang berkaitan dengan wanita Dayak,” tambahnya.