KUCHING: Pemohonan Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaaan mikro tempatan kini dibuka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, skim tersebut bertujuan mengekalkan keupayaan dan meningkatkan daya saing PKS serta membantu perusahaan mikro tempatan membuat penyesuaian selepas negara pulih daripada Covid-19.

“PKS dan perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corp Malaysia atau yang dilesenkan dan didaftarkan di bawah Motac layak untuk memohon skim pembiayaan ini.

“Ini terutamanya mereka yang berada dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim yang bernilai RM1 bilion pada awal Jun lalu untuk membantu PKS dan perusahaan mikro tempatan.

Antara sektor pelancongan teras termasuk pelancongan perubatan, ekosistem mesyuarat, insentif, persidangan, pameran, perniagaan pertukaran wang untuk pengendali pertukaran wang yang berurusan dengan pelancong ke dalam dan ke luar negeri, perniagaan runcit, rekreasi dan kesihatan berkaitan pelancongan yang boleh membuktikan kebergantungan mereka yang besar terhadap pelancong.

Tambah Nancy, skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada perusahaan mikro dan sehingga RM300,000 kepada PKS pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan tidak lebih tujuh tahun.

“Melalui skim ini juga, PKS dan perusahaan mikro diberi tempoh tangguh pembayaran balik minimum enam bulan bagi membantu aliran tunai perusahaan tersebut,” jelasnya.

Sebanyak 12 institusi kewangan akan terlibat dalam skim pembiayaan ini iaitu Affin Bank Bhd/Affin Islamic Bank Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd/ Alliance Islamic Bank Bhd; AmBank (M) Bhd/AmBank Islamic Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; Bank Muamalat Malaysia Bhd; Bank Simpanan Nasional; CIMB Bank Bhd/CIMB Islamic Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd/Hong Leong Islamic Bank Bhd. Selain itu, Maybank Islamic Bhd; Public Bank Bhd/Public Islamic Bank Bhd; RHB Bank Bhd/RHB Islamic Bhd dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

Beliau berkata, PKS dan perusahaan mikro yang berminat mendapatkan pembiayaan ini boleh menghubungi institusi-institusi kewangan di atas untuk memastikan kelayakan mereka bagi mendapatkan pembiayaan ini.

“Kelulusan permohonan tertakluk kepada penilaian institusiinstitusi kewangan tersebut.

“Butiran terperinci mengenai skim ini boleh didapati melalui laman sesawang Penjana di https://penjana.treasury.gov. my/,” ujarnya lagi.