KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes positif Covid-19 hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan 678 kes setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, kes merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia berasal dari Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia yang masuk secara sah melalui Pintu Masuk Antarabangsa ICQS Biawak, Lundu pada 27 Julai lalu.

“Beliau telah dibawa terus ke pusat kuarantin hotel di Kuching pada 27 Julai pada hari yang sama apabila bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat kejuruteraan tempatan.

“Pada 28 Julai iaitu pada hari kedua kuarantin di hotel, kes disaring dan diambil calitan nasopharyngeal dan calitan oropharyngeal bagi ujian Covid-19 dan didapati positif pada 30 Julai,” katanya.

Tambahnya, kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Kes sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dikategorikan sebagai kes import dari luar negara.

“Dalam pada itu, Sarawak masih merekodkan 10 kluster aktif iaitu syarikat kejuruteraan, pusat perubatan, Jupiter, Pasar Stutong, jeti Kuching, Sentosa, PUI Melbourne, syarikat pembinaan Kuching dan Pasar Satok,” jelasnya.

Katanya lagi, terdapat lapan kes baharu yang pulih dan dibenarkan discaj dari HUS hari ini.

“Mereka berasal dari daerah Kuching yang melibatkan enam kes jangkitan tempatan dan dua kes dari luar negara.

“Hari ini juga sebanyak lapan PUI baharu dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal,” ujarnya.