KUCHING: Seekor buaya yang ditangkap hari ini disahkan menyerang seorang remaja berusia 14 tahun di Batan Serdeng di Sarikei pada 26 Julai lalu.

Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Tindakan Hidupan Liar Swift (Swat) dihantar ke lokasi untuk memburu buaya yang menyerang dan membunuh Ricky Ganya.

“Buaya sepanjang 16 kaki itu dibunuh semasa operasi di Sungai Belawai dan dibawa ke jeti Rh Dadat untuk bedah siasat.

“Beberapa bahagian badan mangsa dijumpai di dalam perut buaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC yang juga Pengawal Kehidupan Liar Zolkipli Mohamad Aton menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mengucapkan terima kasih kepada polis, bomba, JPAM dan masyarakat setempat atas bantuan mereka dalam operasi tersebut.

“Insiden itu berlaku susulan peningkatan jumlah buaya sejak beberapa tahun kebelakangan ini jika dibandingkan dengan kajian data dasar pertama Sarawak yang dilakukan pada tahun 1985.

“Ini menunjukkan kejayaan dalam usaha pemuliharaan buaya tetapi turut menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai untuk lebih berhati-hati.

“Selalu berwaspada ketika berhampiran dengan tebing sungai, elakkan berenang di sungai dan jangan membuang sampah atau sisa makanan di sungai kerana ini dapat menarik buaya,” katanya.

Orang ramai digalakkan untuk memberitahu pejabat SFC terdekat mengenai sebarang kemunculan buaya di kawasan mereka.

Talian hotline SFC di pelbagai wilayah dapat dihubungi di 019-8859996 / 013-8110150 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449 / 019-8332737 (Bintulu), atau 019-8224566 / 019-8290994 (Miri).