KUCHING: Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi menyempurnakan penyerahan pisau sembelihan kepada Pegawai Agama Markas 1 Divisyen, Mej Md Shahrim Abd Hamid selaku Ketua Penyembelihan sebagai simbolik ibadah korban dimulakan hari ini.

Terdahulu, sambutan Hari Raya Aidiladha dan Ibadah Qurban Peringkat Zon Kuching dimulakan dengan Takbir Raya, Solat Sunat Aidiladha dan Khutbah Khas Aidiladha dibawah pimpinan Mej Subri bin Ghazali bertempat di Masjid Solahuddin Al –Ayyubi, Kem Penrissen.

Pada tahun ini, sebanyak tujuh ekor lembu dan tiga ekor kambing telah dikorban hasil sumbangan.

Ahli Parlimen Samarahan dan ADUN Stakan masing-masing menyumbangkan dua ekor lembu.

Kemeriahan ibadah korban pada tahun ini sedikit berbeza dengan segala pelaksanaan mengikut garis panduan normal baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, sambutan tahun ini tetap meriah apabila dilakukan secara bergotong-royong yang melibatkan warga tentera di Zon Kuching.

Secara tidak langsung, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam di samping bersama-sama menghayati konsep dan pengajaran disebalik ibadah qurban.

Turut hadir adalah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, Panglima 3 Bgd, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad, Komander Rejimen 511 AW, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki, Pegawai-pegawai Memerintah dan Pemerintah di Zon Kuching bersama-sama isteri.

Gambar sekitar ibadah korban Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Solahuddin Al –Ayyubi, Kem Penrissen hari ini.