KUCHING: Stesen minyak dan kilang di Kuching, Samarahan dan Serian dibenarkan beroperasi selepas jam 10 malam mulai 1 Ogos ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, waktu operasi bagi zon merah dan kuning diputuskan oleh JPBNS ketika mesyuarat semalam.

“Bagaimanapun, bagi stesen minyak dan kilang yang beroperasi 24 jam perlu memaklumkan kepada pihak JPBNS terlebih dahulu.

“Ia bukan untuk memohon kebenaran JPBNS, tetapi sekadar untuk memberitahu mengenai operasi mereka,” tegasnya pada sidang media harian Covid-19 yang diadakan di Bangunan Dun Lama, di sini semalam.

Tambahnya, jika terdapat individu yang ingin keluar membeli minyak petrol selepas jam 10 malam, mereka tidak akan dikenakan tindakan.

“Tetapi, tindakan akan diambil oleh polis sekiranya terdapat individu yang masih berkumpul di kedai kopi, tidak menjaga penjarakan sosial dan sebagainya yang berkaitan.

“Kami juga tidak menggalakkan aktiviti sukan seperti berbasikal dilakukan selepas jam 10 malam.

“Kita tidak berada dalam situasi yang normal, jadi semua pihak perlu berkorban,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau juga mendedahkan bahawa operasi untuk kedai serbaneka 24 jam seperti 7 Eleven juga perlu menutup operasi selepas 10 malam.

Untuk rekod, semua tempoh masa operasi perniagaan di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian akan dihadkan bermula dari jam 6 hingga 10 malam.