KUCHING: Pergolakan politik yang berlaku di Sabah tidak akan menjejaskan Sarawak kerana GPS merupakan sebuah parti utuh dari segi pendirian dan sokongan rakyat di negeri ini.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Lee Kuok Tiung (gambar) berkata, politik di Sabah sentiasa berubah ekoran tindakan segelintir Adun yang mengamalkan budaya lompat parti atau digelar sebagai katak.

“Justeru, bagi saya keadaan di Sabah agak rumit.

Kedua-dua pihak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tan Sri Musa Aman masing-masing mendakwa mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Keadaan ini berlaku kerana budaya lompat parti yang diamalkan oleh segelintir ahli politik sejak dulu lagi,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Sarawak semalam.

Susulan itu kata Kuok Tiung, masalah ahli parlimen atau Adun lompat parti boleh diselesaikan sekiranya undang-undang antilompat parti dikuatkuasakan.

“Sekiranya Perkara 10 Fasal 1(c) Perlembagaan Persekutuan tidak digubal, maka, budaya lompat parti dalam kalangan ahli politik akan berterusan.

“Ini kerana berdasarkan Perkara 10 Fasal 1(c) Perlembagaan Persekutuan, ia memberi hak kepada rakyat di negara ini untuk berpersatuan,” ujarnya.

Bagaimanapun, kerajaan sedia ada tidak bercadang menggubal undang-undang bagi mengharamkan tindakan melompat parti dalam kalangan anggota parti politik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Katanya, kerajaan berpendapat pada masa ini hak berpersatuan termasuk hak untuk boleh menyertai mana-mana parti.

Menurutnya lagi, sekiranya undang-undang berkaitan melompat parti itu dibuat, ia mungkin boleh dicabar dan diisytihar sebagai sesuatu yang tidak berperlembagaan.

Semalam menyaksikan kemelut politik Sabah semakin meruncing apabila Musa mendakwa mendapat sokongan majoriti wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau membentuk gabungan baharu membabitkan Adun daripada pelbagai parti.