KUCHING: Perebutan kuasa Ketua Menteri di Sabah tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat berdepan pandemik Covid-19.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berkata, keadaan ini menunjukkan pemimpin politik Sabah tidak mempedulikan kesihatan rakyat yang sedang mengharungi kepayahan hidup oleh krisis kesihatan global itu.

“Lebih baik guna wang untuk membantu rakyat miskin dan untuk pembangunan di Sabah.

“Sekarang isu ekonomi rakyat terjejas akibat Covid-19 tetapi ahli politik di Sabah sibuk bersaing berebut kuasa dan kurang peduli akan isu ekonomi rakyat terjejas.

“Ini sikap ahli politik yang perlu dinilai rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah ini,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai pembubaran Dun Sabah, semalam.

Bagaimanapun, menyentuh dalam konteks Sarawak Awang Azman berkata, PRN tidak dapat dielakkan kerana tempoh penggal Dun hampir tamat.

Malah, beliau menjangkakan Sarawak membubar Dun pada hujung tahun ini jika wabak Covid-19 menunjukkan penurunan.

“Hal ini kerana tempoh luput Dun Sarawak ialah pertengahan tahun depan dan ia tiada kaitan dengan isu Sabah atau politik di Semenanjung Malaysia.

“Namun di Sabah ada beberapa tahun lagi… sepatutnya tunggu tempoh penggal tamat,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk pembubaran Dun Sabah.

Perkembangan ini menyusul ekoran dakwaan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang mendakwa beliau mempunyai sokongan secukupnya untuk membentuk Kerajaan Negeri baharu.