Abang Johari konsisten tuntut hak Sarawak

KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terbukti berjaya membuat beberapa tuntutan hak Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan.

Misalnya, beliau bersungguh-sungguh membincangkan pengambilalihan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik Bakun untuk dikuasai Kerajaan Sarawak daripada pemilikan Kerajaan Persekutuan.

Ini membuktikan betapa beliau serius mempertahankan hak Sarawak.

Pengambilalihan empangan tersebut melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membeli pegangan ekuiti dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd dari Kerajaan Persekutuan.

Pengambilalihan ini membolehkan Kerajaan Negeri dan SEB muncul sebagai pemilik penuh kemudahan elektrik di negeri ini, seterusnya meningkatkan keupayaannya dalam mengoptimumkan pengurusan dan operasi pembekalan elektrik di negeri ini.

Dalam isu kutipan cukai jualan bagi produk petroleum sebanyak 5 peratus dituntut Sarawak ke atas Petronas pula, Sarawak di bawah Abang Johari menuju kemenangan bagi tuntutan kes berkenaan.

Pada sidang lepas, Mahkamah Rayuan memaklumkan Petronas memberi aku janji menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Bagi kes ini Petronas sedia membayar SST RM2.8 bilion dan tidak dapat dinafikan Abang Johari pencetus idea ini berdasarkan peruntukan udang-undang.

Dalam isu ini, ternyata Abang Johari sangat memahami Perlembagaan Persekutuan dan MA63 serta undang-undang berkaitan bagi menuntut apa-apa perkara yang sepatutnya menjadi hak negeri ini.

Mahkamah memutuskan cukai jualan yang dikenakan Kerajaan Sarawak mematuhi Ordinan Cukai Jualan Negeri dan ia menepati Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan IGC 1963 dan diakui sah.

Terbaharu, pada sesi temu bual khas bersama Suara Sarawak di Wisma Bapa Malaysia Isnin lalu, Abang Johari sekali lagi memberitahu ideanya meneruskan tuntutan peruntukan khas yang adil ke atas Kerajaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Artikel 112, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengaku rundingan berkaitan perkara itu belum selesai walaupun Kerajaan Persekutuan memberikan RM36 juta sebagai peruntukan khas.

Beliau percaya ada formula bagi mendapatkan peruntukan khas tersebut.

Bahkan, Abang Johari memberi contoh misalnya jika keadaan kewangan negara baik peruntukan itu tidak mustahil boleh mencapai sehingga RM100 juta!

Dari segi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat, Abang Johari melontarkan hasratnya mendapatkan semula peruntukan 1/3 kerusi Parlimen.

Dahulu 1/3 Ahli Parlimen terdiri daripada Ahli Parlimen Singapura, Sarawak dan Sabah.

Setelah Singapura keluar, Sarawak dan Sabah sepatutnya mengekalkan 1/3 daripada 222 kerusi Parlimen sekarang agar sebarang pindaan perlembagaan dilakukan dapat menjaga kepentingan Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak