Air France tamatkan 7,580 pekerja

PARIS: Syarikat penerbangan Perancis, Air France dijangka menamatkan 7,580 pekerjaan di syarikat itu serta di unitnya, Hop! menjelang hujung 2022 susulan krisis Covid-19.

Syarikat penerbangan itu berkata, ia bakal menghentikan 6,560 daripada 41,000 jawatan sedia ada dan 1,020 daripada 2,420 jawatan di unit Hop! menurutnya dalam kenyataan selepas mesyuarat pengurus dan kakitangannya.

“Selama tiga bulan, aktiviti Air France mencatatkan penurunan 95 peratus dan di kemuncak krisis, syarikat kerugian 15 juta euro sehari,” katanya sambil menambah pemulihan syarikat juga amat perlahan.

Industri penerbangan turut terkesan dengan sekatan perjalanan yang dikenakan bagi membendung penularan wabak di samping ketidakpastian firma di seluruh untuk kembali semula beroperasi sepenuhnya di udara.

Air France berkata, syarikat itu memulakan proses transformasinya dengan memberi fokus untuk mengubah model aktiviti domestiknya, penstrukturan fungsi sokongan dan mengurangkan kos dalaman serta luaran.

Rancangan itu antaranya dengan mengurangkan 16 peratus kakitangan di Air France dan 40 peratus di Hop!. “Krisis yang dialami syarikat ini amat teruk dan terpaksa mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Langkah pembekuan kenaikan gaji serta pangkat semua kakitangan termasuk jawatan kanan pada 2021 dan 2022 terpaksa diambil,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anne Rigail. – AFP


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak