Belajar ikut pendekatan mesra industri

KUCHING: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Matroll Solutions baru-baru ini, untuk penyediaan pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menurut kenyataan media, majlis tersebut telah diadakan di Ibu Pejabat Kemahiran Sarawak di Tabuan Jaya, Kuching, pada 17 Julai lalu.

“Sebagai pihak berkepentingan dalam transformasi landskap ekonomi dan digital Sarawak, MoU ini merupakan langkah penting untuk merancang dan mengembangkan program pendidikan dan latihan Stem dan IR 4.0.

“Program-program ini akan diselaras oleh Kerajaan Negeri sejajar dengan strategi ekonomi pascaCovid-19 menjelang 2030,” kata Pengarah Eksekutif Kemahiran Sarawak Hallman Sabri dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurutnya, pihaknya juga akan terus berusaha untuk mengembangkan industri ini menerusi tenaga kerja yang cekap serta pengendalian program secara dalam talian.

Katanya, dengan pilihan Blended Learning, pelajar atau pelatih dapat belajar mengikut kadar mereka sendiri dengan pendekatan mesra industri ini, sekali gus mendorong peningkatan produktiviti pelbagai sektor industri.

“Kerjasama ini juga secara tidak langsung telah meningkatkan jumlah tenaga pengajar yang menjalani Kursus Persijilan TrainThe-Trainer (TTT) untuk Pelatih Stem menerusi rakan teknologi kami iaitu Matroll Solutions.

“Kursus yang dikendalikan oleh Tuan Loganathan ini, merangkumi aspek penting dalam IR 4.0 yang menyumbang kepada peningkatan ekosistem pengajaran dan pembelajaran terutama untuk melatih pelajar selaras dengan sasaran yang ditetapkan,” ujarnya.

Suara Sarawak