Bersedia jika PKP dilaksanakan semula

SIBU: Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee tidak menolak kemungkinan sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut dua minggu lagi akan diadakan dalam suasana yang terhad dengan pematuhan SOP yang ketat.

Katanya, ini boleh berlaku sekiranya situasi penularan wabak Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan angka peningkatan.

“Melihat situasi dalam beberapa hari ini, jika masih tidak sifar, sambutan Aidiladha mungkin tidak seperti biasa. “Kalau keadaan tidak mengizinkan, mungkin kerajaan akan memikirkan had-had yang terpaksa kita ambil semasa sambutan Aidiladha nanti.

“Bukan membatalkan, tetapi mengehadkan perayaan tersebut dengan tidak menyambut secara besar-besaran,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis prapelancaran Pelangi Foodkiosk Kampung Nangka di Jalan di sini, petang kelmarin.

Terdahulu, beliau ditanya pemberita sama ada terdapat kemungkinan pembatalan sambutan Hari Raya Aidiladha di negeri ini jika situasi Covid di Sarawak terus bertambah buruk.

Jelas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu, Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan menangguh sesi persekolahan di kawasan panas seperti di Kuching pada masa ini.

Sesi persekolahan bagi sekolah menengah bukan kelas peperiksan yang dijadualkan bermula 15 Julai lalu di seluruh negara ditangguh di tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan sehingga 3 Ogos 2020.

Sehubungan itu, Dr Annuar menggesa orang ramai supaya terus patuh kepada SOP ditetapkan dan mengelak berkunjung ke kawasan yang sesak dengan orang ramai.

“Kita melihat kebelakangan ini kes-kes Covid-19 meningkat semula khususnya di Kuching dengan muncul kluster-kluster baharu. Ini menunjukkan bahawa belum dapat menarik nafas lega.

“Tetapi, jika masyarakat patuh kepada SOP seperti penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka, sekurang-kurangnya kita dapat menanganinya. “Setakat ini kita berjaya tetapi belum menang secara keseluruhannya,” katanya yang juga Adun Nangka


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak